Scorpene: Kementah sedia bekerjasama dengan pasukan penyiasat Perancis

Scorpene: Kementah sedia bekerjasama dengan pasukan penyiasat Perancis

Mohamad Sabu bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes sedang dalam siasatan SPRM.

Penyiasat Perancis menyiasat pembelian Scorpene oleh Malaysia pada 2002. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementerian komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pasukan penyiasat Perancis dalam siasatan pembelian kapal selam Scorpene pada 2002.

“Saya tak mahu tambah apa-apa lagi kerana kes sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dasar kami adalah bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam pendedahan kes-kes jenayah,” katanya semasa sesi pertanyaan.

Mohamad (PH-Kota Raja) menjawab soalan tambahan daripada Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor).

Ramkarpal memberitahu Dewan Rakyat bahawa penyiasata Perancis baru-baru ini menyebut nama wanita warga Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu dalam kontrak pemerolehan.

“Namanya didedahkan dalam dokumen kontrak, oleh itu ada kemungkinan dia terlibat dalam pembelian itu, yang kini sedang disiasat kerana rasuah.

“Persoalan saya ialah, apakah kerajaan akan bekerjasama dengan kerajaan Perancis untuk mengetahui sejauh mana penglibatan Altantuya dalam skandal pembelian?” katanya.

Beliau berkata jika wanita itu terlibat, ia mungkin mempunyai hubungan dengan pembunuhannya pada 2006.

Terdahulu, menjawab soalan Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim), Mohamad berkata Kementah akan mengambil tindakan tegas memastikan rasuah tidak berlaku dalam proses pemerolehan.

Antara langkah diambil adalah menambahbaik tatacara termasuk melaksanakan cadangan dan syor jawatankuasa siasatan khas kerajaan tentang pemerolehan, tadbir urus dan kewangan.

Suara Rakyat Malaysia sebelum ini membuat aduan kepada pihak berkuasa Perancis mengenai pembelian kapal selam Scorpene dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dilapor membuka semula siasatan terhadap urus janji Scorpene.

Dua kapal selam Scorpene dan 1 kapal selam Agosta dibeli dari syarikat DCN pada harga hampir 1 bilion Euro (RM4.5 bilion) pada 2002, ketika Najib Razak menjadi menteri pertahanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.