
Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas ketua pegawai eksekutif Malaysia Airline System (MAS) berkata, AirAsia ialah punca masalah yang dihadapi Malaysia Airlines sekarang.
“Beliau ialah pesaing dan punca Malaysia Airlines mengalami kerugian,” kata Aziz yang menerajui Malaysia Airlines selama 10 tahun, kepada FMT.
Katanya, pada peringkat awal, AirAsia dibenarkan mengenakan bayaran sangat rendah untuk penerbangan domesitk, perkara yang sukar ditandingi Malaysia Airlines.
“Bayangkan penerbangan ke Kota Bharu untuk RM70 dengan AirAsia dan RM100 bagi Malaysia Airlines. Mana ada orang berfikiran waras akan terbang dengan syarikat penerbangan negara?” soalnya.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dilaporkan berkata, Fernandes ialah calon sesuai untuk memulihkan Malaysia Airlines.
“Kita akan lihat jika Fernandes boleh bawa keuntungan kepada MAS atau sebaliknya.
“AirAsia masih baru berbanding MAS, tetapi syarikat penerbangan bajet itu mampu meraih keuntungan,” kata Rayer.
Aziz tidak faham bagaimana Malaysia Airlines terus mencatat kerugian besar, walaupun mempunyai kadar muatan penumpang sebanyak 78%.
“Sepanjang tempoh saya memegang jawatan itu, jika anda dapat mencapai kadar muatan penumpang sebanyak 72%, anda boleh meraih keuntungan berjuta dolar,” kata Aziz yang menerajui MAS dari 1981 hingga 1991.
Mohd Jabarullah Abdul Kadir, bekas penasihat Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (Maseu), berkata cadangan Rayer tidak sesuai.
“Malaysia Airlines sebahagian kebanggaan negara dan ia mempunyai sekumpulan orang bakat yang mencukupi untuk mengendalikannya,” katanya sambil menambah syarikat induknya, Khazanah Nasional Berhad yang mengambil alih syarikat itu pada 2014 dengan pelan pemulihan RM6 bilion, membuat kesilapan dengan melantik orang asing mengetuai syarikat penerbangan itu.
Selepas diswastakan, Malaysia Airlines diketuai warga Jerman, Christoph Mueller yang bertindak memberhentikan kira-kira 6,000 pekerja, sebelum beliau meletak jawatan secara mengejut kurang setahun selepas pelantikannya.
Beliau kemudiannya digantikan Peter Bellew dari Ireland, yang turut meletak jawatan untuk kembali ke pangkuan bekas majikannya, Ryanair.
Susulan kerugian berterusan yang mencecah berbilion dolar, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bulan ini mengumumkan kerajaan mempunyai 3 pilihan bagi Malaysia Airlines: menutup, menjual, menukar pengurusan atau mengecilkan saiz operasinya.