
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata aduan membabitkan polis akan ditangani Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), nama baru Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ditukar nama dan diperkasakan pada 21 September lepas.
“Kita tidak perlu takut. Ia adalah suruhanjaya bebas. Kita juga tidak tahu apa yang mereka mahu lakukan. Terpulang kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas Forum CEO 2019 anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Semalam, Suhakam berkata Amri dan Koh menjadi mangsa kehilangan paksa oleh ejen-ejen kerajaan, dan menamakan Cawangan Khas Bukit Aman sebagai pihak yang bertanggungjawab.
Perdana menteri berkata sejak penemuan didedahkan Suhakam, pihaknya belum menerima laporan yang berkenaan.
“Kita akan ambil tindakan apabila kita yakin ada keperluan untuk bertindak,” katanya.
Amri, seorang aktivis dari Perlis, hilang pada penghujung 2016, sementara Koh dilihat diculik beberapa orang pada siang hari pada Februari 2017.
Penemuan Suhakam mendorong pelbagai pihak mendesak kerajaan menubuhkan IPCMC untuk mengawasi polis.
Sementara itu, Mahathir turut mengkritik pasukan peguam Najib Razak, yang menafikan percubaan menangguhkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd.
“Sama ada dia melewat-melewatkan atau tidak, faktanya jelas perlu masa 6 bulan baru boleh dengar kes. Itu perkara yang luar biasa,” katanya.