Didakwa miliki banglo RM6 juta, Khairy pertahan kekayaan Tok Mat

Banglo dengan reka bentuk Minangkabau bernilai hampir RM6 juta yang terletak di Saujana Duta, Seremban 2 dikatakan milik calon BN, Mohamad Hasan. (Gambar Facebook)

SEREMBAN: Khairy Jamaluddin mempertahankan hasil kekayaan calon Barisan Nasional DUN Rantau, Mohamad Hassan yang kini menjadi bahan serangan Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, isu kekayaan Mohamad tidak patut dipertikaikan kerana bekas menteri besar Negeri Sembilan itu adalah tokoh korporat dan memegang jawatan penting dalam syarikat pengeluar kereta antarabangsa, sebelum menceburi bidang politik pada 2004.

“Tok Mat bukan profesional politik, bukan ahli politik sejak muda, pada 2004, Pak Lah (Abdullah Badawi) panggil Tok Mat yang ketika itu ketua pegawai eksekutif (CEO) Mercedes-Benz.

“Beliau bukan CEO jaga di Malaysia, tetapi CEO di Asia Tenggara. Jarang sekali kita tengok syarikat Eropah lantik anak tempatan jadi CEO di negara yang mereka melabur.

“Pak Lah minta dia tinggalkan jawatan itu, menang dilantik jadi MB. Gaji menteri besar dengan korporat jauh beza tetapi sebab dia sayangkan Rantau, dia sanggup.

“Tak hairan kalau dia ada harta, orang Rantau tahu cerita ini tapi orang luar mungkin tak tahu,” katanya ketika berucap dalam program Ceramah Sepentas BN di Taman Kelab Tuanku, malam tadi.

Khairy Jamaluddin.

Khairy mempertahankan hasil kekayaan Mohamad secara umum, tanpa merujuk mana-mana aset yang dimiliki bekas menteri besar itu.

Tambahnya, serangan peribadi terhadap Mohamad bermula beberapa hari lalu apabila tempoh berkempen memasuki pusingan akhir.

Katanya, PH mula membuat serangan dengan membangkitkan isu yang dilakukan sewaktu timbalan presiden Umno itu menjadi menteri besar.

PH juga, katanya, bimbang dengan momentum sokongan rakyat kepada BN di Rantau.

“Apabila pihak lawan lihat kepada momentum kita yang semakin meningkat, kita lihat dalam tempoh 2, 3 hari lepas mereka mula lakukan serangan peribadi. Sebelum ini mereka bercakap tentang dasar dan janji PH tetapi sekarang banyak serangan peribadi.

“Mereka tidak tahu di Rantau ini sinonim dengan Mohamad Hasan dan Mohamad Hasan ini sinonim dengan Rantau. Macam-macam cerita diungkit semula. Yang saya baca, mereka persoalkan tentang pengisytiharan harta Tok Mat.

Hadir sama di pentas ceramah ialah Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob; Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker dan Presiden Makkal Sakti, R S Thanenthiran.

Ceramah itu menyaksikan pertama kali pimpinan utama komponen BN dan PAS berada 1 pentas berdepan PH selepas puluhan tahun menjadi seteru politik.

Calon PH Dr S Streram semalam meminta penjelasan Mohamad berhubung dakwaan calon BN itu memiliki rumah banglo di Seremban 2, yang memiliki rekaan seni bina rumah Minangkabau.

Streram yang juga timbalan pengerusi PKR cabang Rembau mengulas gambar rumah Minangkabau tersebut yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Banglo tersebut yang dikatakan bernilai hampir RM6 juta itu terletak di Saujana Duta, Seremban 2.

Mohamad bagaimanapun manafikan dakwaan itu, sambil menjelaskan, beliau tidak memiliki rumah di Negeri Sembilan dan hanya menyewa di negeri itu selepas kekalahan BN.

Katanya, beliau hanya memiliki rumah di Kuala Lumpur.