PETALING JAYA: Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menjelaskan orang yang pergi mengerjakan haji dan umrah buat kali pertama tidak dikenakan levi pelepasan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Credit Guarantee Corporation’s SME Awards hari ini.
Penjelasan itu menyusuli kebimbangan yang ditimbulkan di Parlimen hari ini bahawa cadangan levi pelepasan itu, iaitu sebanyak RM20 bagi perjalanan dalam Asean dan RM40 ke negara-negara lain, akan membebankan orang yang mengerjakan ibadah.
Ia juga dikatakan akan membebankan mereka yang berulang-alik ke Singapura dan Brunei setiap hari untuk bekerja, dan mereka yang ke Thailand untuk perniagaan.
Dalam perbahasan rang undang-undang itu, yang dibentangkan untuk bacaan kedua hari ini, ahli-ahli Parlimen pemerintah dan pembangkang menyeru ia ditangguhkan.
Mereka juga menyeru beberapa golongan dikecualikan, seperti orang yang mengerjakan ibadah.
Ketika membentangkan Belanjawan 2019, Putrajaya mencadangkan levi pelepasan untuk semua penumpang penerbangan udara yang keluar negara mulai 1 Jun bagi meningkatkan pelancongan dalam negeri.
Levi ini tambahan kepada caj perkhidmatan penumpang sebanyak RM73 yang dikenakan oleh lapangan terbang.