Parti pemerintah yang berhak tentukan MB baru, bukan Sultan Johor, kata PM

Dr Mahathir Mohamad berkata, calon menteri besar Johor akan ditentukan secepat mungkin.

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad bertegas parti pemerintah yang berhak melantik menteri besar Johor baru dan bukannya sultan, susulan kritikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap Pakatan Harapan dalam isu itu semalam.

“Ini adalah hal politik, sultan tiada peranan. Peranannya ialah untuk parti yang memenangi pilihan raya menentukan siapa patut mengetuai,” kata perdana menteri selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-15 hari ini.

Semalam, Mahathir mengumumkan peletakan jawatan Osman Sapian sebagai menteri besar Johor yang disusuli kritikan Tunku Ismail berhubung calon pilihan Pakatan Harapan.

Tunku Ismail dilaporkan berkata, pemilihan menteri besar Johor ialah hak mutlak sultan.

Mengenai spekulasi Adun Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal akan dilantik sebagai pengganti Osman, Mahathir berkata, belum ada keputusan dibuat mengenainya.

“Saya tidak tahu.

“Kita akan lantik secepat mungkinlah. Kita nak tentukan calon. Ada beberapa calon kita nak kena pilih. Ia akan mengambil sedikit masa, tetapi kami akan tentukan dengan cepat.”