
Menurut hantaran dan gambar yang disertakan mengenai majlis yang berlangsung di Istana Pasir Pelangi itu di laman Facebook milik Sultan Ibrahim, Osman memaklumkan kepadanya tentang peletakan jawatan beliau.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohan.
Rabu lepas Osman memberitahu bahawa beliau akan menjelaskan sebab peletakan jawatannya sebagai menteri besar selepas menghadap Sultan Ibrahim.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Selasa lepas bahawa Osman menyerahkan surat peletakan jawatan beliau berkuat kuasa sehari sebelum itu.
Osman, 67, merupakan menteri besar Johor ke-16 dan menjawat jawatan itu untuk tempoh paling pendek selama 11 bulan selepas mengangkat sumpah jawatan pada 12 Mei tahun lepas berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14.