
Dalam satu hantaran di Facebook, Tunku Ismail berkata latihan sedemikian amat penting dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan operasi, meningkatkan keupayaan serta memperhalusi kemahiran yang diperlukan bagi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Institusi Diraja Johor dan kerajaan Johor akan terus memberikan sokongan penuh terhadap usaha-usaha ini,” kata baginda.
Baginda berkata ATM tidak seharusnya berdepan halangan yang tidak perlu dalam melaksanakan latihan serta eksesais operasi yang amat penting demi pertahanan dan kesiapsiagaan negara.
Tunku Ismail turut berkata sokongan baginda bukan sahaja terhad kepada mereka yang masih berkhidmat, malah turut meliputi anggota tentera yang telah bersara atau bakal bersara.
“Pintu Johor akan sentiasa terbuka buat mereka sebagai tanda penghargaan terhadap segala pengorbanan dan jasa yang tidak ternilai kepada negara.”
Isnin lalu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah agar ATM serta semua jabatan dan agensi berkaitan mendapatkan perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebelum melaksanakan sebarang latihan dan eksesais ketenteraan di Pahang.
Tengku Hassanal mengambil berat aktiviti latihan ketenteraan yang hendak dilaksanakan terutama di kawasan kepulauan, menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti ketenteraan tersebut akan menggugat ekosistem alam sekitar, flora dan fauna.
Terdahulu hari ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menegaskan semua latihan dan operasi ketenteraan dilaksanakan secara profesional, terancang serta tertakluk kepada prosedur kelulusan ketat.
MKN berkata, ATM juga komited setiap latihan mematuhi garis panduan, prosedur operasi standard (SOP) serta ketetapan pihak berkuasa berkaitan, termasuk aspek keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.
Menurutnya, pelaksanaan latihan ketenteraan di kawasan diwartakan atau tidak diwartakan perlu melalui proses kelulusan serta pengesahan pelbagai pihak, termasuk Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri yang dipengerusikan menteri besar atau ketua menteri bersama agensi teknikal berkaitan.