
“Bolehkah ia menjadi realiti atau sekadar cubaan kerajaan untuk memujuk rakyat dan membuat mereka gembira, tetapi akhirnya tiada apa yang dilaksanakan,” soal Musa.
Oktober lalu, kerajaan Sabah mengumumkan perancangan untuk menaik taraf sistem kereta api di Sabah, termasuk menyambung laluan Kota Kinabalu-Tenom ke Kudat.
Dalam jawapannya, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony yakin projek itu akan menjadi kenyataan di bawah pentadbiran sekarang.
Katanya, rakyat Sabah menanti beberapa dekad untuk mendapatkan perkhidmatan kereta api yang baik, terutama yang menghubungkan wilayah utaranya dengan Kota Kinabalu.

Beliau berkata, negeri itu hanya memerlukan sebahagian kecil daripada peruntukan yang dibelanjakan Putrajaya ke atas projek sama di Semenanjung.
“Kerajaan persekutuan tiada masalah membelanjakan ratusan bilion untuk membangunkan sistem kereta api di Semenanjung. Kita cuma perlu sedikit daripada jumlah itu, dianggarkan sekitar RM5.2 bilion untuk menghubungkan Kudat dan Kota Kinabalu,” katanya di DUN Sabah hari ini.
Buat masa ini, katanya, Jabatan Keretapi Sabah sedang menyiapkan syarat untuk jajaran sejauh 175km dari Kota Kinabalu ke Kudat, di samping kajian awal laluan dan persiapan dokumen tender.
“Sistem baru ini dijangka mampu menampung hingga 300 penumpang dan 1,200 tan kargo bagi laluan sehala menggunakan kereta api diesel elektrik yang boleh mencapai kelajuan 160km sejam,” katanya.
Sabah ialah satu-satunya negeri di Borneo yang mempunyai sistem kereta api terdiri daripada laluan tunggal sepanjang 134km dari Tanjung Aru di pantai barat ke Tenom di pedalaman.
Kerja penyambungan landasan terjejas akibat kawasan berbukit dan kebimbangan terhadap jumlah penumpang yang sedikit.