
Bagaimanapun, presiden Persatuan Stesen Minyak Malaysia, Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, sekiranya kerajaan memutuskan untuk menghapuskan had harga tersebut dan mengapung harga RON95 dan diesel, maka persatuan menggesa pelaksanaan apungan harga secara bulanan, bukan mingguan.
Beliau merujuk laporan yang menyebut kerajaan bercadang menghapuskan harga siling RM2.08 bagi RON95 apabila ia mula memperkenalkan subsidi minyak bersasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kabinet belum membuat keputusan akhir berhubung perkara itu.
Khairul berkata, sistem apungan harga mingguan menimbulkan suasana “tegang” antara syarikat minyak dengan pengusaha stesen kerana tempoh pengisian semula RON95 adalah secara harian, sementara RON97 secara mingguan bergantung pada jualan serta harga.
“Apabila harga minyak dunia naik, pengusaha akan menyimpan stok minyak mereka sebelum kenaikan harga. Ini memberi tekanan ke atas syarikat logistik kerana permintaan meningkat.
“Ketika harga jatuh, syarikat minyak pula mahu melepaskan bekalan mereka sebelum harga turun,” katanya kepada FMT.
Khairul berkata, jika harga diselaraskan secara bulanan, syarikat minyak dan pengusaha stesen mempunyai masa untuk pulih daripada kesan perubahan harga sebelum itu.
Berhubung pelaksanaan dasar subsidi minyak bersasaran, beliau berkata, persatuan berharap mekanisme tersebut akan memberi bantuan tunai secara langsung kepada penerimanya kerana ia akan memudahkan operasi mereka serta mengurangkan kos pengurusan.
Katanya, mekanisme yang melibatkan banyak lapisan, seperti individu yang layak membayar harga subsidi di stesen minyak dan setelah itu pengusaha stesen menuntut jumlah yang disubsidi daripada kerajaan hanya akan meningkatkan lagi kos.
Bagaimanapun, pakar ekonomi Firdaos Rosli dari Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa berkata, kerajaan perlu menghapuskan had harga maksimum RON95 kerana ia akan membolehkan inflasi berlaku secara semula jadi.
“Pada masa ini, tidak ada usaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan gaji, dan dengan pelaksanaan had harga minyak, harga barang kekal rendah secara tidak semula jadi,” katanya kepada FMT.
“Kerajaan harus biarkan inflasi berlaku kerana harga sebenar barang akan terlihat dan ia akan menampakkan bahawa gaji kita tidak lagi mencukupi. Ini akan mendorong majikan menaikkannya,” kata beliau, selain menambah bahawa majikan cenderung untuk melihat angka inflasi bagi menentukan kos, termasuk gaji.