
Anwar berkata, buat masa ini beliau menyokong supaya Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad membetulkan keadaan dan mestabilkan negara yang telah dirosakkan kerajaan sebelum ini.
“Ini kerana yang mengantikkan Najib Razak mempunyai pengalaman. Dia (Dr Mahathir) tahu kalau kapal baru yang sedang gelombang masih dapat dikawal.
“Bagi saya, saya sokong supaya kapal ini stabil sahaja, saya ambil alih dalam keadaan stabil itu lebih mudah. Jadi sebab itu, PKR perlu beri sokongan (pada Dr Mahathir),” katanya ketika berucap dalam satu majlis makan malam amal anjuran PKR Kuala Langat, malam ini.
Pada 24 April lalu, Anwar berkata, beliau akan menolak jawatan menteri kewangan jika ditawarkan kepadanya ketika ini susulan kekangan ekonomi negara yang tidak menentu.
Anwar berkata, Menteri Kewangan Lim Guan Eng terpaksa memberi jawapan standard apabila permintaan untuk peruntukan diajukan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, proses mendakwa Najib tidak semudah seperti kes dakwaan terhadapnya semasa kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
Beliau berkata, proses pendakwaan terhadap Najib haruslah mengikut kedaulatan undang-undang, iaitu “rule of law”.
“Itu janji kita yang akan tunaikan dan janji itu tidak mudah untuk ditunaikan. Kena ikut prosesnya,” kata beliau.