NGO kecewa kerajaan PH abai tuntutan hak Orang Asli Gerik

Sekumpulan Orang Asli dari Kampung Tasik Cunex cuba menghalang sebuah lori mengeluarkan balak dari kawasan hutan yang didakwa tanah adat mereka Isnin lalu. (Gambar ihsan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia).

PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan Orang Asli kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan, termasuk kerajaan Perak yang didakwa tidak mengendahkan tuntutan Orang Asli di Gerik.

Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Yusri Ahon turut membidas tindakan pembalak yang didakwa merobohkan sekatan dibina penduduk Kampung Tasik Cunex di Gerik, Isnin lalu.

“JOAS kecewa dengan peristiwa di Kampung Tasik Cunex di mana pembalak telah merobohkan ‘blockade’ mereka.

“Lebih mengecewakan apabila peristiwa ini berlaku seminggu selepas Konvensyen Orang Asli 2019 di mana 133 resolusi diterima kerajaan PH yang telah memberi harapan kepada Orang Asli,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Orang Asli Tasik Cunex sudah mengikuti saluran betul dalam usaha mempertahankan tanah adat mereka.

“JOAS menyeru kerajaan baru mengambil tindakan sewajarnya dengan menghentikan pembalakan di Kampung Tasik Cunex dan menyiasat tuntutan hak tanah Orang Asli Kampung Tasik Cunex.”

Isnin lalu, Orang Asli di Kampung Tasik Cunex mendakwa pembalak merobohkan sekatan didirikan mereka secara diam-diam.

Susulan itu, mereka mengadakan protes duduk dan membuat benteng manusia untuk menghalang lori mengeluarkan kayu balak yang ditebang Januari lalu, dari kawasan hutan yang didakwa merupakan tanah adat mereka.

Ketua Kampung Tasik Cunex, Apam Yek dilaporkan mendakwa beberapa wakil pembalak menarik dan menolak Orang Asli yang melakukan benteng manusia.

Awal Februari lalu, penduduk Orang Asli di Gerik mendakwa kerajaan Perak menceroboh tanah adat mereka dengan kegiatan pembalakan sejak 18 Januari lalu.

Mereka mendakwa pembalakan itu dijalankan di kawasan seluas 80 hektar yang merupakan tanah adat mereka tanpa kebenaran dan sekatan didirikan selepas aduan kepada kerajaan negeri serta menteri besar pada 10 Januari lalu tidak diendahkan.

Orang Asli di Gerik sudah membuat laporan polis beberapa kali dan tiada hasil diperolehi daripada pertemuan dengan wakil kerajaan Perak, Jabatan Perhutanan Perak serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy pada 18 Februari lalu.

Pada 7 Mac lalu, komuniti itu mendakwa pihak berkuasa yang lengkap bersenjata, mengugut dan meminta mereka membuka sekatan di laluan pembalak.

Polis di Gerik menafikan Orang Asli diugut pihak berkuasa, sebaliknya polis hanya mengiringi anggota Jabatan Perhutanan Perak dan wakil syarikat balak ke kawasan pembalakan yang didakwanya sudah dilesenkan kerajaan negeri.

Jabatan Perhutanan Perak pula menafikan dakwaan kawasan Orang Asli di Gerik diceroboh kerana tiada kawasan hutan simpanan kekal di Perak yang diwartakan sebagai tanah adat komuniti itu.