Pindah milik tanah RTS ancam perhangat sengketa Istana Johor-Putrajaya

Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru. Sistem Transit Rapid dirancang untuk menghubungkan stesen di Bukit Chagar dengan Woodlands. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Masalah baru mengenai sebuah plot tanah yang berkait dengan pembinaan laluan kereta api sepanjang 4km antara Johor Bahru dan Singapura dikhuatiri akan memanjangkan lagi pertelagahan antara Putrajaya dan Istana Johor.

Ini susulan penemuan 1 daripada 5 plot tanah untuk projek Sistem Transit Rapid (RTS) dipindahkan kepada Sultan Johor, kata sumber yang boleh dipercayai kepada FMT.

Dokumen yang dilihat FMT itu antara lain menyatakan perubahan hak milik tanah untuk plot seluas 4.5 hektar itu berlaku bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Dokumen itu juga mendedahkan tanah itu dipajakkan selama 3 tahun sehingga November 2020 kepada sebuah syarikat untuk mengusahakan tempat letak kenderaan.

Seorang sumber mengatakan kerajaan persekutuan perlu membeli semula tanah itu, walaupun ia sebahagian daripada urus janji pertukaran tanah dengan kerajaan negeri dalam pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru.

“Ini bermakna Putrajaya kini perlu membayar separuh bilion ringgit sebagai pampasan bagi tanah yang sepatutnya milik kerajaan persekutuan,” kata sumber kepada FMT.

Beliau menambah ini akan menyebabkan pembayar cukai menanggung kos tambahan untuk membina RTS.

Plot tanah itu sebahagian daripada rancangan RTS, yang akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura.

RTS bertujuan meringankan kesesakan di Tambak Johor.

Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal, ketika ditemui selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur hari ini, cuba mengelak daripada media yang menunggu untuk mendapatkan penjelasannya.

Kerajaan sebelum ini berkata ia sedang mencari pilihan-pilihan untuk memastikan RTS yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura terus berjalan, walaupun kedua-dua negara bersetuju untuk menggantung projek itu dari 1 April atas permintaan Malaysia.