Polis cari wanita dipercayai dera 3 anaknya
Wanita terbabit yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu bercerai dengan suaminya sejak tahun lepas dan menghilangkan diri selepas laporan polis dibuat oleh ibunya.
Selain dipukul, ketiga-tiga beradik yang masing-masing berumur 2 tahun, 7 tahun dan 11 tahun yang tinggal bersama ibu mereka berusia 42 tahun itu juga tidak dihantar bersekolah sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Che Zaimani Che Awang berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 16 April lepas oleh ibu kepada wanita itu, selepas cucunya melarikan diri dan pergi kerumahnya.
“Nenek berumur 62 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian apabila 3 cucunya yang tinggal bersebelahan rumah melarikan diri ke rumahnya selepas dipukul teruk oleh ibu mereka,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, ibu mereka memukul anak perempuan sulungnya dengan besi di lengan kiri dan kaki kiri sehingga lebam, manakala anak lelaki keduanya pula ditendang pada kemaluan, malah wanita itu turut mengugut mahu membunuh mereka menggunakan pisau.
Che Zaimani berkata, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu bercerai dengan suaminya sejak tahun lepas dan sejak laporan polis dibuat, wanita itu terus menghilangkan diri, dipercayai melarikan diri ke Kedah.
Beliau berkata, kedua-dua anak perempuan serta seorang anak lelaki wanita itu yang berada dalam keadaan trauma, kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, dan usaha mengesan wanita itu sedang giat dijalankan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Menurutnya kes disiasat mengikut Sekyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.