
Beliau menolak kenyataan beberapa pegawai polis bersara bahawa suruhanjaya baru itu bercanggah dengan Akta Polis dan perlembagaan persekutuan.
Ramachelvam yang merupakan pengerusi bersama pasukan petugas Majlis Peguam mengenai IPCMC dan akauntibiliti polis berkata, rantaian perintah dalam pasukan polis tidak akan dikompromi, hanya fungsi penyiasatan dan disiplin yang kini berada di bawah kuasa Suruhanjaya Polis akan digantikan dengan IPCMC.
“Perkara 140 perlembagaan persekutuan juga dengan jelas menyebut bahawa Parlimen mempunyai kuasa meluluskan undang-undang berkaitan hal-ehwal disiplin pasukan polis. Justeru polis perlu mematuhi undang-undang yang mewujudkan IPCMC,” katanya.
Terdahulu, pegawai polis bersara, Mohd Ismail Che Rus membantah cadangan kerajaan persekutuan menubuhkan IPCMC. Beliau berkata, IPCMC dengan jelas mengambil alih fungsi dan peranan Suruhanjaya Polis.

Katanya, ia juga berlawanan dengan Seksyen 4 Akta Polis yang menyebut bahawa pasukan polis hendaklah berada di bawah perintah ketua polis negara yang bertanggungjawab kepada menteri dalam negeri berkaitan kawalan dan arah tuju pasukan itu.
(Suruhanjaya Polis mempunyai kuasa pemantauan ke atas pasukan polis dan bertanggungjawab ke atas perkara berkaitan perkhidmatan seperti pelantikan dan pertukaran, serta disiplin.)
Mohd Ismail, yang merupakan presiden Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) berkata, polis tidak memerlukan sebuah badan luar berhubung urusan disiplin kerana ia akan menggugat kuasa KPN.
IPCMC juga bercanggah dengan Akta Polis kerana ia diberi kuasa untuk mengambil alih siasatan daripada KPN dan juga berkuasa menghentikan mana-mana siasatan yang dijalankan oleh polis.
Ramachelvam tidak bersetuju. Beliau memberitahu FMT bahawa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), sebagai sebuah suruhanjaya bebas, sudah pun menjalankan siasatan ke atas aduan tentang salah laku anggota polis.
Beliau menyebut tentang ketidakberkesanan sistem sedia ada yang diwakili oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard polis.
Kesemuanya gagal dalam menangani isu serius seperti akauntibiliti pasukan polis, salah guna kuasa, rasuah, kematian dalam tahanan, keganassan polis serta kegagalan tindakan polis.
“Sistem itu tidak menjadi kerana polis tidak boleh dan tidak sewajarnya memantau diri sendiri. Tidak ada keyakinan terhadap sistem sedia ada. Persepsi umum menganggap sistem ini hanya menjaga kepentingan sendiri, melindungi kepentingan tertentu dan tidak melindungi kepentingan awam,” katanya.
Beliau berkata, pasukan petugas Majlis Peguam telah mengemukakan cadangan pindaan terhadap Rang Undang-undang IPCMC bagi menangani kebimbangan pihak tertentu dalam pasukan polis.
Ini termasuklah hak untuk diwakili peguam, hak untuk berdiam diri, keistimewaan peguam-klien (peguam tidak boleh dipaksa mendedahkan maklumat yang diberikan klien) dan hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan IPCMC.
Katanya IPCMC hanya akan memperkukuh imej dan kredibiliti polis Malaysia. “Anggota yang jujur dan patuh undang-undang tidak perlu takut dengan IPCMC.”
Pembentukan IPCMC dicadangkan oleh Laporan Dzaiddin berikutan satu suruhanjaya penyiasatan diraja pada 2005.