
SUNGAI BULOH: Penduduk kampung Orang Asli khuatir bekalan air bukit mereka dicemari operator kuari haram di hutan simpan.
Presiden Jawatankuasa Pengurusan Kampung Orang Asli Sungai Buloh, Hanim Apeng berkata, bekalan air mereka daripada sebatang sungai sebelum ini dalam keadaan bersih sehinggalah seorang operator kuari baru masuk baru-baru ini.
“Kami tahu 7 kuari beroperasi di tanah hutan simpan negeri di Bukit Lagong sebelum ini tetapi air kami tiba-tiba jadi keruh selepas operator baru masuk.
“Macam mana nak hidup dengan air kotor yang keluar dari paip? Bagaimana nak guna dan minum?”
Beliau tertanya kenapa operator-operator kuari dibenarkan menjalankan kegiatan mereka dalam hutan simpan.
Hanim berkata 3 kampung Orang Asli berdekatan terjejas degnan kerja-kerja kuari di Bukit Lagong, iaitu Kampung Orang Asli Bukit Lagong, Kampung Orang Asli Bukit Kuang, dan Kampung Orang Asli Sungai Buloh.

Kuari-kuari itu terletak tidak jauh dari kampung-kampung itu dan penduduk boleh dengar letupan-letupan kuari di bukit itu, kira-kira sejam perjalanan dari rumah mereka.
Beliau berkata salah satu operator kuari itu menawarkan penapis air kepada Orang Asli baru-baru ini.
“Kenapa mereka tawarkan pemasangan penapis-penapis air di rumah kami? Mesti mereka tahu kegiatan kuari mereka menjejaskan mutu air.”
Shariffa Sabrina Syed Akil, presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berkata, dia tidak menolak pembangunan tetapi ia mestilah tidak membinasakan alam sekitar.
Beliau sangsi bagaimana operator kuari baru itu boleh mendapatkan kelulusan untuk beroperasi jika aktiviti-aktiviti itu menjejaskan alam sekitar.
“Kalau operator ada permit, kenapa kuari itu merosakkan alam sekitar?
“Sebelum ini penduduk kampung tiada masalah air. Tetapi, tiba-tiba, air jadi kotor selepas kuari baru dibuka.”
Beliau menggesa kerajaan negeri menyiasat perkara itu dengan segera dan bertindak pantas sebelum lebih banyak kerosakan berlaku di hutan simpan itu.