Persatuan teksi lapor SPRM dakwa menteri pengangkutan salah guna kuasa

Kamarudin Mohd Hussain (2 dari kiri) mendakwa Gabungan Teksi Malaysia menghantar 8 surat kepada Kementerian Pengangkutan untuk mengadakan perbincangan, tetapi semuanya tidak dilayan Loke Siew Fook.

PUTRAJAYA: Sebuah persatuan teksi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atas dakwaan Loke Siew Fook menyalahgunakan kuasa sebagai menteri pengangkutan.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain mendakwa Loke dilihat meminda peraturan semata-mata memberi kepentingan kepada pemandu e-hailing.

“Kita akan bagi bahan bukti berkenaan. Sejak akhir-akhir ini, pihak Loke menggunakan jawatannya meminda peraturan sedia ada.

“Dahulu, peraturan dibuat demi jaga keselamatan pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya. Tetapi, hari ini apa saja peraturan yang sedia ada, dipinda tanpa sebarang perbincangan dan kajian. Dia (Loke) buat itu semua untuk kepentingan Grab,” dakwanya pada sidang media selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM hari ini.

Kamarudin berkata, satu memorandum akan dihantar kepada Dr Mahathir Mohamad untuk memohon campur tangan perdana menteri bagi memastikan pemandu teksi mendapat layan sama rata seperti e-hailing.

Beliau mendakwa Loke tidak melayan permohonan mengadakan perbincangan menerusi 8 surat yang dihantar kepada Kementerian Pengangkutan.

“Dengan kami, pihak pemain industri tak boleh berunding. Kami percaya dalam MOT (Kementerian Pengangkutan) berlaku benda yang tak betul.

“Mungkin ada gejala rasuah atau gejala salah guna kuasa,” dakwanya

Beliau turut mendakwa Loke berat sebelah dengan memberi kelonggaran kepada pemandu perkhidmatan e-hailing untuk mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV).

Dulu, katanya, pemandu teksi wajib menghabiskan 6 jam kursus, menjalani ujian praktikal dan dikenakan bayaran RM800 hingga RM1,000.

“Tetapi untuk Grab, ujian praktikal dibatalkan, masa kursus dipendekkan dan kadar bayaran dikurangkan (kepada hanya RM200),” dakwanya.

Pada 17 Mei lalu, Loke mengumumkan kerajaan memberi kelonggaran kepada pemandu e-hailing menjalani kursus dalam talian untuk mendapatkan lesen PSV sebelum 12 Julai ini, dengan syarat mereka perlu menghabiskan 6 jam yang diperuntukkan.

Katanya, pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan sedia turun padang mengendalikan kursus 6 jam kepada pemandu di lokasi pilihan operator e-hailing di seluruh negara.