Theresa May lepas jawatan PM Britain 7 Jun

Theresa May menjadi perdana menteri Britain pada 13 Julai 2016. (Gambar AFP)

LONDON: Theresa May mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan perdana menteri negara itu dan pemimpin Parti Konservatif pada 7 Jun ni, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Beliau membuat kenyataan ringkas pada pagi Jumaat selepas menemui Pengerusi Jawatankuasa 1922 partinya, Graham Brady.

May menjadi pemimpin Parti Konservatif dan perdana menteri selepas David Cameron meletak jawatan pada 2016, susulan keputusan pengundi Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah dalam satu pungutan suara.

Beliau merundingkan satu perjanjian keluar dengan pemimpin EU, tetapi berulang kali gagal mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan sokongan ahli Parlimen partinya.

May berdepan tekanan untuk meletak jawatan sejak 4 bulan lalu, selepas beliau gagal mendapat sokongan majoriti bagi perjanjian Brexit.