Pendaftaran penumpang perlu pengesahan JPN, kata pengendali e-panggilan

Pendaftaran penumpang perlu pengesahan JPN, kata pengendali e-panggilan

Pengarah Pembangunan Masyarakat Dacsee, Mohd Faizul Ezmin berkata sistem pendaftaran menggunakan kad pengenalan atau pasport perlu persetujuan kerajaan.

PETALING JAYA:
Sebuah firma e-panggilan berkata cadangan meminta pemandu mendaftarkan diri dengan kad pengenalan atau pasport boleh dijayakan hanya jika kerajaan bersetuju dengan cadangan itu.

Mohd Faizul Ezmin, pengarah pembangunan masyarakat di Decentralised Alternative Cabs Serving and Empowering Everyone (Dacsee) berkata, syarikat-syarikat e-panggilan tiada pautan pada Jabatan Pendaftaran Negara atau imigresen.

“Kita perlu JPN mengesahkan identiti itu kerana orang mungkin memasukkan nombor MyKad palsu.

“Kami sudah mengujinya sebelum ini menggunakan kad pengenalan palsu dan kami boleh mengakses akaun itu. Jadi di mana selamatnya?

“Kalau mahu laksanakan sistem di mana penumpang perlu menggunakan MyKad, kerajaan mesti memberikan akses kepada pengendali e-panggilan untuk mengesahkan MyKad itu dengan JPN,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas seruan Persatuan Pemandu E-Panggilan Malaysia (Mehda) kepada pengendali e-panggilan supaya memastikan semua penumpang mendaftarkan diri menggunakan kad pengenalan bagi melindungi pemandu, susulan kes rompak dan bunuh seorang pemandu Grab di Sabah baru-baru ini.

Presiden Mehda, Daryl Chong berkata pendaftaran penumpang perkara asas yang perlu diselesaikan industri itu.

Beliau berkata pada ketika ini sesiapa sahaja mudah mendaftarkan diri. Mereka hanya perlukan sekeping kad SIM dan sebarang nama untuk jadi penumpang, katanya.

Faizul berkata cadangan itu pernah ditimbulkan di pertemuan town hall Grab dan beberapa syarikat e-hailing cuba melakukannya tetapi gagal kerana tiada pautan pada JPN.

Beliau berkata pengesahan pasport juga perlu menerusi imigresen.

Pengasas MyCar, Mohd Noah Maideen bagaimanapun berkata tiada keperluan untuk mengadakan langkah-langkah yang ketat seperti itu.

“Saya percaya keadaan masih terkawal, di mana semua penumpang e-panggilan perlu mendaftarkan diri dalam sistem.

“Sekurang-kurangnya kita ada maklumat – nombor telefon, emel dan nama – yang boleh digunakan sekiranya berlaku jenayah atau kesalahan.

“Dari situ, kita boleh mengesan mereka dan membantu polis menangkap mana-mana penumpang yang melakukan jenayah.”

Beliau berkata perkhidmatan e-panggilan lebih selamat berbanding teksi kerana pemandu teksi tiada maklumat penumpang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.