Jangan guna Gawai Dayak pecah belahkan kami, kata timbalan KM Sarawak

Kerajaan Sarawak mengiktiraf sambutan Gawai Dayak pada 1960-an sebagai perayaan kebudayaan masyarakat Dayak. (Gambar Bernama)

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing memberi amaran kepada kaum lain supaya tidak menggunakan sambutan Gawai Dayak sebagai aktiviti politik atau gimik untuk memecahbelahkan masyarakat Dayak.

Katanya, hanya orang Dayak berhak menganjurkan sambutan Gawai Dayak peringkat negeri, tetapi kaum lain dialu-alukan menyertai sambutan itu.

“Ia milik kami, oleh itu kita perlu kekalkan. Ia adalah milik kita untuk menganjurkannya.

“Orang Dayak tidak boleh membenarkan diri mereka dipergunakan secara politik oleh kaum lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sambutan Gawai Dayak peringkat negeri dianjurkan 3 badan bukan kerajaan Dayak, iaitu Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh dan Persatuan Kebangsaan Orang Ulu.

“NGO ini yang diberikan penghormatan menganjurkan sambutan Gawai peringkat negeri setiap tahun, sejak Gawai Dayak diiktiraf kerajaan Sarawak pada 1960-an sebagai perayaan kebudayaan Dayak.”

Beliau berkata, tiada faktor sama yang boleh mengenal pasti 3 kumpulan utama Dayak – Iban, Bidayuh dan Orang Ulu – sebagai unit tunggal.

Walaupun agama memainkan peranan dalam masyarakat Melayu, katanya, ia tidak menyatukan orang Dayak.

“Kita tiada objektif sosial sama yang boleh menyatukan diri kita sebagai satu entiti sosial. Politik boleh menjadi kaedah untuk menyatukan Dayak, tetapi sebaliknya ia terus memecahbelahkan kami.”

Bagaimanapun, katanya, sambutan Gawai Dayak ialah kaitan sama antara masyarakat Dayak.

“Oleh itu, mari kita jadikan ia untuk mengikat dan menyatukan semua masyarakat Dayak.

“Mari kita gunakan ia sebagai perayaan kebudayaan yang dinikmati semua rakyat Malaysia.”