Pindahkan kilang aluminium cemar udara, gesa penduduk Kuala Langat

Pindahkan kilang aluminium cemar udara, gesa penduduk Kuala Langat

Penduduk di Sri Cheeding mengadu terhidu bau logam kuat dari sebuah kilang peleburan aluminium berdekatan.

Sebahagian penduduk yang menyertai bantahan aman di depan kilang peleburan aluminium di Sri Cheeding, Kuala Langat.
KUALA LANGAT:
Kira-kira 50 penduduk kampung di Sri Cheeding di sini mengadakan bantahan aman di depan sebuah kilang peleburan aluminium bagi mendesak penutupannya atas dakwaan ia mengeluarkan asap toksik.

Nandhakumar Chellia, 41, yang tinggal hanya 100m dari kilang itu berkata, keluarganya terhidu asap tidak menyenangkan.

“Kadangkala sukar untuk bernafas. Anak perempuan saya yang berusia 12 tahun didiagnos dengan asma apabila beliau berusia 2 tahun.

“Doktor di hospital berkata ia disebabkan asap yang dihidunya. Saya tiada tempat untuk berpindah.”

Nandhakumar Chelli bersama isterinya, K Puspa dan anaknya mengadu mengenai pencemaran udara berpunca daripada kilang peleburan aluminium di Sri Cheeding.

Nandhakumar berkata, asap itu tidak boleh dilihat pada waktu siang, tetapi penduduk boleh menghidunya.

Katanya, kebanyakan penduduk tinggal di sana sebelum kilang itu mula beroperasi. Kira-kira 100 keluarga kini tinggal berhampiran kilang itu.

Tan See Koo yang tinggal berhampiran berkata, beliau terpaksa menutup hidungnya ketika melalui kilang itu setiap hari kerana bau logam yang kuat.

“Kilang itu biasanya beroperasi siang dan malam tanpa henti. Selepas kami mengadu, mereka kurangkan operasi.

Omar Shawkataly.

“Sekarang mereka beroperasi pada malam dari 6 petang hingga awal pagi supaya ia tidak begitu ketara.”

Seorang lagi penduduk, Omar Shawkataly yang merupakan pensyarah kimia berkata, ujian perlu dilakukan untuk mengesan tahap aluminium dalam kalangan penduduk yang tinggal berdekatan kilang itu dan juga air.

“Kami lebih bimbang dengan debu yang orang hidu. Saya pasti debu ini akan kekal dalam tanah dan masuk ke dalam air.”

Pua Lay Peng.

Setiausaha Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Pua Lay Peng berkata beberapa aduan sudah dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sejak Mei tahun lalu.

Katanya, kilang itu yang beroperasi sejak 2005 perlu dipindahkan ke zon perindustrian berat kerana ia kini dikelilingi rumah.

Beliau berkata, JAS sudah meminta kilang itu menghentikan operasinya selama 2 minggu dan ia hanya boleh meneruskan perniagaannya jika memenuhi piawaian kualiti udara.

Katanya, persatuan itu akan memantau kilang berkenaan, khasnya pada malam bagi memastikan kilang itu tidak beroperasi pada malam untuk mengelakkan penguatkuasaan.

FMT cuba mendapatkan maklum balas kilang itu yang ditutup sekarang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.