‘Mustaza orang baik’, ibu bapa yakin anak tak terlibat IS

Abdul Rahman Abd Hamid dan Siti Aisyah Itam, bapa dan ibu kepada Mustaza, seorang lans koperal polis yang dipenjarakan atas tuduhan membabitkan IS.

KUALA LUMPUR: Kasih sayang ibu bapa pada anak tidak akan pudar walaupun berdepan pandangan serong masyarakat, terutama bagi pasangan, Abdul Rahman Abd Hamid dan Siti Aisyah Itam yang terpaksa beraya tanpa anak mereka yang dipenjarakan atas tuduhan membabitkan IS.

Mustaza, seorang lans koperal polis, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya pada Disember 2017.

“Dia merupakan anak yang baik, mudah berkawan dan sering menolong rakan-rakannya,” kata Rahman, 65, ketika ditemui di kediamannya di Setapak baru-baru ini.

Mustaza mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan pengetahuan memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang membabitkan penggunaan bahan letupan.

Beliau juga didakwa dengan sengaja tidak memberi apa-apa maklumat berkenaan dengan kesalahan berkaitan pengganas, dan dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan IS dengan cara melakukan sumpah setia.

Mahkamah Rayuan dijangka akan membuat keputusan berhubung rayuan Mustaza pada 19 Ogos depan.

“Dia anak saya. Saya percaya dia tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak buat apa-apa,” kata Rahman.

Berhabis duit

Rahman berikrar dia akan melakukan apa sahaja yang termampu kudratnya bagi membela dan membebaskan anaknya. Pesara polis itu sudah menghabiskan RM100,000 duit pencennya untuk membantu Mustaza.

“Apa sahaja peluang kami akan cuba rebut,” katanya.

Sejak Mustaza dipenjarakan, dia tidak pernah terlepas melawat anaknya. Rahman sanggup berulang-alik menaiki bas dari Kuala Lumpur ke penjara di Alor Setar setiap minggu bagi memberi sokongan moral dan melepaskan rindu.

“Saya dan isteri naik bas pada waktu malam, apabila sampai waktu pagi, kami tumpang tidur di surau. Kami jumpa dia pada 8 pagi sehingga 9 pagi, kemudian kami balik. Begitulah rutin kami,” katanya.

Mustaza kini sedang menjalani hukumannya di Tapah, Perak.

Menanti saat

Aisyah, 66, pula berkata air matanya akan gugur apabila nama anaknya disebut walaupun sudah 4 tahun anaknya dipenjarakan.

Beliau sedih mengenangkan anaknya diiringi dengan senjata dan cucunya, yang ingat Mustaza tidak pulang ke rumah kerana sedang bekerja di penjara.

“Tetapi selepas melihat drama dan filem, lama-lama dia faham. Sekarang ini cucu saya sudah pandai berdoa, meminta supaya penderitaan ini berakhir,” katanya.

Aisyah berkata dalam setiap sesi pertemuan dengan Mustaza, mereka hanya dibenarkan berkomunikasi selama 45 minit menerusi telefon dan dipisahkan cermin kaca.

“Makcik menanti-nanti saat untuk memeluknya,” tambahnya.

Aisyah tidak membenarkan anaknya mengaku salah kerana yakin Mustaza mangsa dalam kes itu.

“Jangan mengaku. Kita akan cari peguam,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan Aidilfitri keluarganya, Rahman berkata dibuat secara secara ringkas saja sejak anak keempatnya berada di sebalik tirai besi.

“Tidak ada baju raya pun tidak mengapa, asalkan dapat bertemu anak. Apa yang mustahak, dapat jumpa Mustaza,” katanya.