Pinda perlembagaan halang pelantikan unilateral, kata bekas hakim

Seksyen 5 Akta SPRM menetapkan bahawa Agong hendaklah melantik seorang ketua persuruhjaya atas nasihat perdana menteri mengikut terma yang ditetapkan dalam kontrak.

PETALING JAYA: Seorang hakim bersara mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda sekirannya badan perundangan mahu mengehadkan kuasa perdana menteri dalam membuat lantikan unilateral melibatkan jawatan utama pegawai penguat kuasa.

Gopal Sri Ram berkata, sehingga sekarang perdana menteri, yang mengetuai badan eksekutif, tidak melanggar mana-mana undang-undang sekiranya tidak berunding secara rasmi dengan anggota Kabinet beliau atau jawatankuasa khas Parlimen.

“Sebagai contoh, perlembagaan perlu dipinda bagi menetapkan bahawa mana-mana pelantikan adalah tidak terpakai melainkan ia disahkan oleh jawatankuasa khas di Dewan Rakyat,” katanya kepada FMT.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata demikian berikutan pelantikan kontroversi peguam Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal minggu ini.

Pada Rabu Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak berunding dengan anggota Kabinet berhubung pelantikan itu kerana beliau mahu bebas membuat pilihan tanpa “dibataskan” oleh pandangan mereka.

William Leong, pengerusi jawatankuasa khas Parlimen mengenai lantikan ke jawatan utama awam berkata, beliau juga tidak tahu apa-apa mengenai perkara itu sehinggalah apabila pelantikan tersebut dilaporkan oleh media.

Sri Ram berkata, kajian teliti ke atas perlembagaan menunjukkan pelantikan ketua audit negara, hakim mahkamah tinggi sivil dan pengerusi serta anggota Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dibuat selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.

“Bagaimanapun rundingan sama dengan mana-mana pihak, hatta bagi jawatan peguam negara, tidak disebut dalam perlembagaan,” katanya.

Dalam isu pelantikan peguam negara, katanya, Perkara 145(1) hanya menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat perdana menteri, hendaklah melantik individu yang layak menjadi seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

Justeru, Seksyen 5 Akta SPRM menetapkan bahawa Agong hendaklah melantik ketua persuruhjaya atas nasihat perdana menteri mengikut terma yang ditetapkan dalam kontrak.

Tidak ada juga peruntukan dalam perlembagaan atau Akta Polis 1967 yang menetapkan bahawa perdana menteri perlu berunding dengan pihak ke-3 dalam melantik ketua polis negara.

Perkara 132(2A) hanya menyebut bahawa pegawai awam yang dilantik melalui suruhanjaya akan memegang jawatan terbabit mengikut perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pelantikan ketua polis negara dipersetujui oleh Suruhanjaya Pasukan Polis.

Dalam pada itu, peguam SN Nair berkata, pelantikan peguam negara, ketua SPRM dan ketua polis negara adalah penting bagi membantu badan eksekutif kerajaan menguatkuasakan undang-undang dan ketertiban awam.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PN) perlu berusaha meminda perlembagaan dengan mempengaruhi pembangkang supaya menyokong kerana ia (pindaan perlembagaan) memerlukan sokongan 2/3 di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.

Katanya, perlembagaan dan undang-undang persekutuan memberi terlalu banyak kuasa kepada perdana menteri.

Sangkara berkata, seperti dijanjikan dalam manifesto PH, kuasa ini mesti diberikan kepada institusi lain.

“Rakyat mengundi kerajaan baru dan menjadikan mereka pemegang amanah selama 5 tahun. Jadi mereka perlu tunaikan janji,” katanya.

Latheefa menggantikan Mohd Shukri Abdull yang kontraknya dibenarkan tamat lebih awal daripada tarikh akhir pada 17 Mei 2020.

Banyak pihak mempersoalkan kesesuaiannya atas sebab beliau merupakan ahli aktif PKR, selain tidak mempunyai pengalaman menjalankan penyiasatan dan penguatkuasaan undang-undang.

Dalam pada itu pihak yang menyokong berkata, Latheefa harus diberikan peluang membuktikan dirinya seperti individu bukan pegawai SPRM yang dilantik mengetuai agensi anti rasuah itu pada masa lalu.