4 Orang Asli di ICU Hospital Kuala Krai akibat masalah pernafasan

4 Orang Asli di ICU Hospital Kuala Krai akibat masalah pernafasan

Mereka ialah 2 pesakit wanita berumur 12 dan 27 tahun serta 2 pesakit kanak-kanak berusia 39 hari dan 3 bulan.

Dr Mohd Salleh Mat Jusoh berkata, 24 Orang Asli suku Batek sedang dirawat di Hospital Kuala Krai sejak beberapa hari lalu dan ditempatkan di wad kluster khas. (Gambar Bernama)
KUALA KRAI:
Empat pesakit Orang Asli suku Batek ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Krai sejak Ahad lalu akibat gangguan saluran pernafasan.

Pengarah Hospital Kuala Krai, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh berkata ia membabitkan 2 pesakit wanita berumur 12 dan 27 tahun yang ditempatkan di ICU, manakala 2 lagi pesakit ialah kanak-kanak berusia 39 hari dan 3 bulan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

“Keadaan empat pesakit ini dilaporkan stabil dan kami sentiasa memantau perkembangan kesihatan mereka dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Kuala Krai di sini, hari ini.

Salleh berkata, sehingga hari ini, 24 pesakit Orang Asli suku Batek sedang dirawat di hospital itu sejak beberapa hari lalu dan ditempatkan di wad kluster khas.

“Seramai 13 pesakit lelaki dan 11 pesakit wanita sedang menerima rawatan dan pemantauan oleh 23 kakitangan hospital, termasuk doktor pakar yang ditugaskan bagi memastikan keadaan semua pesakit ini berada dalam keadaan baik dan sihat.”

Beliau berkata, pihaknya turut mengehadkan lawatan orang ramai ke wad kluster itu bagi mengelakkan jangkitan merebak.

Katanya, setakat ini, tiada pesakit dibenarkan pulang dan rawatan akan diteruskan sehingga pesakit benar-benar pulih.

Suku Orang Asli Batek di Kelantan mula mendapat perhatian umum, selepas 2 daripada mereka meninggal dunia dipercayai akibat pneumonia sejak awal bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.