NGO gesa SPRM siasat dakwaan menteri terima dana menerusi akaun luar negara

Lokman Adam bercakap kepada pemberita di SPRM Putrajaya.

PUTRAJAYA: Sebuah NGO hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan tentang suatu transaksi meragukan daripada syarikat kejuruteraan ke akaun bank milik seorang menteri.

Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Lokman Noor Adam berkata transaksi itu didakwa berlaku menerusi sebuah bank di luar negara pada 19 Disember 2017.

Lokman berkata dia memperolehi suatu dokumen daripada seorang individu, berhubung pemindahan dana berjumlah AS$741,440 (RM3.085 juta) dari sebuah syarikat kejuruteraan ke suatu akaun atas nama ahli politik itu di sebuah bank luar negara.

“Dokumen yang saya akan serah hari ini juga berkemungkinan ada kaitan dengan pemindahan wang tersebut,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Lokman ke ibu pejabat badan anti-rasuah itu untuk membuat laporan berhubung dakwaan itu.

“Kita buat laporan ini untuk memberi peluang khas kepada ketua pesuruhjaya yang baru membuktikan beliau tidak berat sebelah,” katanya.