Isteri, anak bersatu sokong Azmin selepas isu seks gay

Isteri, anak bersatu sokong Azmin selepas isu seks gay

Shamsidar Taharin meminta suaminya terus bertawakal dan bersabar, manakala 2 anak timbalan presiden PKR itu berjanji akan terus berada di sisinya.

Isteri dan anak memberi menyuarakan sokongan kepada Azmin Ali di media sosial selepas penyebaran klip video seks sejenis membabitkan individu mirip seorang menteri kanan dan pemimpin PKR di WhatsApp sejak semalam.
PETALING JAYA:
Ahli keluarga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali menyuarakan sokongan kepada timbalan presiden PKR itu susulan pengakuan gempar berhubung aksi seks sejenis yang didakwa membabitkan 2 ahli parti itu.

Shamsidar Taharin meminta suaminya terus bertawakal, bertakwa dan bersabar.

“Seseorang mukmin itu mesti percaya kepada perintah Allah. Dalam keadaan terdesak untuk perkara duniawi, manusia lupa dan ironinya mendapat laknat-Nya,” tulisnya di Twitter.

Shamsidar yang turut “tag” Azmin dalam catatan itu memetik ayat al-Quran yang menyatakan fitnah lebih bahaya daripada membunuh.

Anak lelakinya, Mohamed Ameer Shazrin memuat naik sekeping gambar mereka berdua duduk bersama dan berjanji akan terus berada di sisi bapanya.

“Jika bersama, kami akan menjadi lebih kuat.”

Anak sulung Azmin, Farah Shazliyana berkata: “Kami sudah laluinya sebelum ini dan kami akan terus laluinya lagi. Lebih baik bersama, lebih kuat dari sebelumnya.”

Biro Politik PKR dijadualkan mengadakan mesyuarat petang ini dan isu klip video seks mungkin dibincangkan, walaupun ia bukan agenda utama mesyuara itu.

Sekurang-kurangnya 3 klip video menunjukkan 2 lelaki mengadakan hubungan seks sejenis tersebar di WhatsApp sejak semalam bersama tangkap layar transaksi RM3 juta sebuah syarikat kejuruteraan kepada seorang menteri 2 tahun lalu.

Awal pagi tadi, Muhammad Haziq Aziz yang merupakan setiausaha sulit kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin, mengaku dirinya ialah salah seorang lelaki dalam video itu.

Ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong di Sarawak itu turut menamakan seorang lagi lelaki dalam video itu sebagai menteri kanan Kabinet yang juga pemimpin PKR.

Beliau dalam video 30 saat yang dimuat naik ke Facebook kira-kira 3 pagi tadi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat menteri itu yang disifatkannya “bukan individu layak menjadi pemimpin”.

Katanya, kelakuan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu baru-baru ini.

Pemimpin PKR yang didakwa terbabit dalam aksi seks gay itu belum memberi sebarang respons terhadap dakwaan itu, tetapi Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin hari ini menyuarakan sokongan tidak berbelah bagi kepadanya dan berkata pemimpin tertinggi itu difitnah.

“Pada saat rakyat dan kerajaan sedang bergelut bagi memulihkan keadaan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat, permainan politik kotor ini sangat menjengkelkan dan membantutkan usaha pembinaan semula Malaysia Baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, beliau yakin dengan kredibiliti, integriti dan personaliti pemimpin kanan itu kerana individu yang melemparkan tuduhan itu mempunyai latar belakang “sangat meragukan dan diketahui mempunyai hubungan baik dengan pihak pembangkang”.

“Sebarang konspirasi politik bagi membunuh karakter seperti ini harus dihentikan serta-merta dan saya amat berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan serta menghadap pesalah ke muka pengadilan.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa rakyat bersatu mengecam politik kotor dan memfokuskan “isu dan perkara lebih penting”.

“Simpati saya bersama mereka dan keluarga mereka. Kita tidak boleh memandang rendah atau hilang fokus kesan fitnah terhadap mereka yang terbabit.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.