Cirit-birit undang maut pada kanak-kanak

Seminggu menyambut lebaran, pasti ada yang terkesan dengan hidangan makanan sehingga menyebabkan berlakunya cirit-birit.

Mungkin kesannya sangat teruk kepada orang dewasa, namun tahukah anda perkara itu boleh menyebabkan maut kepada kanak-kanak berusia 2 tahun dan ke bawah?

Ini kerana hanya dengan sentuhan cirit-birit boleh berjangkit dan virus yang merebak itu pula kepada akan menyebabkan kanak-kanak mengalami dehidrasi yang teruk.

Virus tersebut dikenali sebagai “Rotavirus” dimana ia adalah sejenis virus yang mudah berjangkit dan boleh kekal beberapa jam di atas kulit manusia, malah boleh bertahan di atas objek yang kering dan keras.

Penyebarannya juga adalah lebih cepat melalui air dan makanan tercemar.

1. PUNCA ROTAVIRUS

Rotavirus adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan gastrousus.

Penyakit ini biasanya dikaitkan dengan persekitaran dan pengendalian makanan serta minuman yang tidak bersih.

Jangkitan ini boleh disebarkan melalui najis, makanan, dan minuman.

Apabila pengendalian kebersihan kurang sempurna, virus ini boleh melekat pada barangan yang disentuh seperti perabot dan alat permainan.

Jangkitan Rotavirus pada bayi berusia 6-24 bulan paling mudah terjadi kerana sifat semulajadi si kecil yang suka memasukkan barang ke dalam mulut.

2. GEJALA/ SIMPTOM ROTAVIRUS

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, gejala utama Rotavirus yang dialami oleh pesakit adalah cirit-birit dan muntah teruk yang boleh menyebabkan dehidrasi.

Simptom ini mulai timbul dalam tempoh kurang daripada 48 jam sejak berlakunya jangkitan.

Selain cirit-birit dan muntah, tanda demam juga turut dialami oleh 1/3 daripada kanak-kanak yang telah dijangkiti oleh virus ini.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu lebih peka supaya tidak terkeliru antara simptom Rotavirus dengan demam atau cirit-birit biasa.

3. KESAN ROTAVIRUS PADA BAYI DAN DEWASA

Bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun, Rotavirus boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak mendapat rawatan segera.

Ini adalah berikutan kesan kekurangan bendalir dalam badan akibat muntah-muntah dan cirit-birit yang menjadikan mereka lesu, kurang bermaya, dan tidak berselera.

Antara tanda kekurangan bendalir yang teruk adalah kurang bilangan lampin basah (kurang kencing), bibir dan mulut yang kering,tiada air mata ketika menangis, kulit terasa sejuk, serta mata dan pipi yang cengkung.

4. RAWATAN ROTAVIRUS

Pastikan anak mendapat air yang secukupnya dan cuba beri mereka minum air dengan kerap jika bayi sukar menelan sebarang makanan.

Rawatan klinikal akan diberikan mengikut kesesuaian umur dan tahap keseriusan. Ia bertujuan untuk mengembalikan air dan garam mineral badan melalui oral rehydration therapy (ORS).

Sekiranya perlu, pesakit perlu ditahan ke dalam wad untuk pemantauan yang lebih teliti.

Apa pun, jangkitan Rotavirus ini boleh ditangani dengan lebih cepat bagi kanak-kanak yang mempunyai sistem imunisasi badan yang baik.

5. BERAPA LAMAKAH SIMPTOM INI AKAN BERLARUTAN?

Simptom-simptom ini boleh berlarutan dari 3 hari hingga ke 8 hari.

Jika anak anda mula mengalami simptom-simptom di atas, catatkan kekerapannya dan bertindaklah membawa anak ke hospital dengan segera.

6. VAKSIN ROTAVIRUS

Pada tahun 2006, vaksin untuk Rotavirus telah dihasilkan.

Vaksin ini meringankan sindrom-sindrom yang akan menimpa kanak-kanak akibat jangkitan Rotavirus dan mampu mengurangkan kadar masuk ke wad hingga 96%.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pengambilan vaksin Rotateq (untuk Rotavirus) ini sebagai satu strategi pencegahan terhadap jangkitan Rotavirus.

Namun, ia tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia.

7. CARA MENCEGAH ROTAVIRUS

Elakkan membawa anak-anak yang mempunyai gejala muntah dan cirit-birit ini ke kolam rekreasi awam.

Selain itu, jangan biarkan anak-anak kecil mandi di dalam kolam dengan memakai lampin pakai buang.

Lampin pakai buang yang telah digunakan hendaklah diikat dengan kemas, dan dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan.

8. PANTAU KEBERSIHAN DIRI & KELUARGA

Di samping itu, orang ramai dinasihatkan agar mengamalkan kebersihan sepanjang masa, terutamanya dalam hal penyediaan makanan dan minuman.

Akhir sekali, pastikan basuh tangan setiap kali selepas menggunakan tandas, menukar lampin anak, dan pantau bayi dengan kerap sekiranya mereka suka memasukkan barangan ke dalam mulut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]