Selepas Zahid, SPRM akan panggil Hishammuddin berkait isu ‘land swap’

Hishammuddin Hussein ialah bekas menteri pertahanan.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan memanggil bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein pada Ahad ini untuk membantu siasatan “land swap” atau pertukaran tanah milik Kementerian Pertahanan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam baki berkata, pihaknya mengambil keterangan bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi berhubung kes itu semalam.

“Selain Zahid dan Hishammuddin, kita tidak tolak kemungkinan akan panggil bekas perdana menteri, Najib Razak juga, mungkin dia terlibat dalam hal ini. Namun, kita kena dapatkan bukti dahulu,” katanya di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Pada 9 Mei lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengumumkan 13 daripada 16 projek “land swap” Kementerian Pertahanan membabitkan Najib dan bekas menteri pertahanan sejak 1997.

Katanya, hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) ke atas 16 projek itu turut mendapati kerajaan kerugian lebih RM500 juta disebabkan penilaian tanah lebih rendah daripada nilai pasaran dan pengurusan kontrak yang lemah.

Beliau berkata, 16 projek itu terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan bernilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion.

Sementara itu, Azam berkata, SPRM menahan 2 individu dari sebuah syarikat tempatan yang menjadi ejen rundingan dalam pembelian 6 helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015, tetapi belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga kini.

“Remannya selama 6 hari dan direman sejak 3 hari lepas.”

Bulan lalu, FMT melaporkan 6 helikopter tempur ringan MD530G yang dikeluarkan MD Helicopters milik gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat, McDonnel Douglas dipesan Kementerian Pertahanan di bawah pimpinan Hishammuddin pada 2015.

Pada 13 Jun lalu, sumber yang rapat dengan siasatan kes itu dilaporkan berkata, syarikat tempatan yang menjadi ejen rundingan itu sudah ditamatkan kontrak sebagai ejen rasmi oleh syarikat AS terbabit.

“Dimaklumkan, syarikat itu kepunyaan bekas pegawai kanan kepada Hishammuddin ketika beliau menerajui kementerian,” kata sumber itu sambil menambah kerajaan sudah membayar 35% atau RM112 juta kepada MD Helicopters.

Katanya, 2 helikopter itu sepatutnya dihantar pada Julai 2017, manakala baki 4 lagi pada Disember 2018.