Usul wajibkan ahli Parlimen, keluarga isytihar harta Julai ini, kata Dr M

Usul wajibkan ahli Parlimen, keluarga isytihar harta Julai ini, kata Dr M

Perdana menteri berkata kerajaan akan membentangkan usul itu di Dewan Rakyat pada Julai ini.

Mahathir Mohamad berkata ia bagi mencegah wakil-wakil rakyat menggunakan pengaruh untuk mendapatkan ganjaran.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan membawa usul di Dewan Rakyat mewajibkan semua ahli Parlimen dan keluarga mereka mengisytiharkan pendapatan dan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada sidang Julai ini.

Beliau berkata ia bagi mencegah wakil-wakil rakyat menggunakan pengaruh untuk mendapatkan ganjaran.

“Semua akan isytihar harta mereka, kerana pembangkang pun ada pengaruh. Kita akan bawa usul itu dan sama ada lulus atau tidak itu soal lain,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian pameran adiwira Marvel Studios Malaysia petang tadi.

Media melaporkan usul itu akan dibentangkan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri pada minggu depan. Dewan Rakyat dijadualkan bersidang bermula 1 hingga 18 Julai.

Buat masa ini, hanya ahli Parlimen Pakatan Harapan diminta mengisytiharkan aset dan pendapatan kepada SPRM.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada Mac menggesa kerajaan menggubal undang-undang mewajibkan pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan mengisytiharkan harta.

Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) pada Mei juga mencadangkan pengisytiharaan harta kepada SPRM dimasukkan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.