Kenapa pancing aset kami jika ada wakil rakyat PH belum isytihar harta, soal Hishammuddin

Hishammuddin Hussein mendakwa 12 ahli Parlimen PH belum mengisytiharkan harta mereka dan 22 lagi tidak mengisytiharkan harta dimiliki ahli keluarga mereka.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein mempersoalkan tindakan kerajaan mewajibkan ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan harta sedangkan masih ada ada wakil rakyat Pakatan Harapan yang belum berbuat demikian.

“Saya dimaklumkan sebelum usul itu dibawa ke Dewan Rakyat semalam, masih terdapat 12 ahli Parlimen PH yang belum mengisytiharkan harta mereka.

“Manakala 22 lagi tidak mengisytiharkan harta dimiliki ahli keluarga mereka, ia termasuklah seorang senator yang merupakan timbalan menteri,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen bersama pasangan dan anak mereka mengisytiharkan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Hishammuddin (BN-Sembrong) menyifatkan tindakan kerajaan itu tidak masuk akal.

Katanya, kerajaan PH sepatutnya menjadi contoh dan membuktikan keikhlasan serta ketelusan mereka berhubung pengisytiharan harta.

“Sebab kamulah dalam kuasa sekarang, bukan kami dan atas sebab apa kamu nak memancing aset kami.

“Jadi, apa alasan di sebalik tindakan itu kecuali ia adalah ‘ekspedisi memancing’ bagi saya.”

Bekas naib presiden Umno itu berkata, pembangkang tiada kuasa dan bukan dalam kedudukan yang dapat mempengaruhi mana-mana pihak.

Katanya, kerajaan sepatutnya menumpukan usaha untuk membangunkan ekonomi negara.

“Aset atau harta yang kami miliki boleh disiasat SPRM dan kami boleh isytiharkan aset kami kepada pengutip cukai (Lembaga Hasil Dalam Negeri).

“(Jadi) apa tujuan pelaksanaan usul ini…tidak masuk akal langsung bagi saya.”