1BestariNet: Kementerian tak langgar obligasi tamat kontrak YTLC

1BestariNet: Kementerian tak langgar obligasi tamat kontrak YTLC

Kontrak perkhidmatan YTL Communications tamat pada 30 Jun lepas dan bukan ditamatkan kementerian.

PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan hari ini menafikan pihaknya melanggar kewajipan kontrak berhubung penamatan kontrak YTL Communications Sdn Bhd (YTLC) sebagai penyedia perkhidmatan 1BestariNet.

Ketua Setiausaha Mohd Gazali Abas berkata berdasarkan perjanjian, kontrak perkhidmatan YTLC tamat pada 30 Jun lepas, dan bukannya ditamatkan kementerian.

Menurutnya, YTLC diberi kontrak 1BestariNet fasa 1 bagi tempoh 13 Dis 2011 hingga 30 Jun, termasuk lanjutan kontrak sebanyak 7 kali sebelum kontrak fasa 2 yang bermula 1 Julai 2016 hingga 30 Jun lepas.

“Justeru, dakwaan kementerian melanggar obligasi kontrak serta berlaku tidak adil kepada YTLC dan menamatkan kontrak syarikat itu tidak adil dan tidak benar sama sekali,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengenai dakwaan YTLC ada menawarkan solusi lengkap perkhidmatan internet percuma dan Frog VLE bagi tempoh sehingga tender baru dibuat ditolak, Gazali berkata pihaknya juga menolak tawaran beberapa syarikat pembekal lain.

Ia termasuk Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) bagi menyediakan perkhidmatan internet kepada 10,000 sekolah untuk tempoh interim tersebut, kata Gazali.

“Sepanjang tempoh 8 tahun perkhidmatan, kami tahu kelebihan dan kelemahan YTLC, dan sebab itu kami akan gunakan tempoh interim ini untuk meneroka teknologi baharu yang ditawarkan syarikat telekomunikasi lain.

“Antara lain, tawaran YTLC ditolak kerana terdapat kos tersembunyi, YTLC tidak pernah membayar caj elektrik struktur menara telekomunikasi yang dipasang di sekolah,” katanya.

Sebagai contoh, Gazali berkata kementerian terpaksa menanggung kos caj elektrik sebanyak RM41 juta melibatkan 2,715 tapak menara telekomunikasi sedangkan hakikatnya ia perlu dibayar syarikat tersebut.

Menurut Gazali, kerajaan juga berpotensi kehilangan pendapatan penyewaan komersial menara telekomunikasi sebanyak RM32 juta setahun jika khidmat diteruskan.

Bagaimanapun, atas sikap tanggungjawab kementerian, meluluskan permohonan YTLC untuk pengguna komersial syarikat itu kekal menggunakan pemancarnya di kawasan sekolah selama 3 bulan sehingga 30 Sept depan, katanya.

Gazali menegaskan segala tindakan yang diambil berkaitan 1BestariNet demi kepentingan guru, murid dan sekolah dalam menyediakan sistem pengajaran dan pembelajaran berkualiti, selain mengoptimumkan sumber kewangan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.