KDN umum pengganti Mokhtar dalam pasukan siasat kehilangan Amri, Koh esok

KDN umum pengganti Mokhtar dalam pasukan siasat kehilangan Amri, Koh esok

Muhyiddin Yassin berkata seorang lagi individu, mungkin orang bukan Melayu, juga akan menyertai pasukan petugas khas itu.

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri hari ini mengumumkan pengganti Mokhtar Mohd Noor, seorang anggota pasukan petugas khas menyiasat kehilangan aktivis, Amri Che Mat dan pastor, Raymond Koh akan dinamakan esok, susulan bantahan daripada pihak keluarga dan badan-badan bukan kerajaan.

Menteri Muhyiddin Yassin berkata turut akan diumumkan adalah seorang anggota baru, yang mungkin seorang bukan Melayu.

“Saya fkir mereka sesuai untuk duduk dalam pasukan petugas,” katanya pada sidang media di majlis Aidilfitri bersama warga polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini.

“Kita tidak akan tangguhkan siasatan. Kita akan umum pasukan baru esok,” tambahnya.

Mokhtar menarik diri selepas kementerian dikritik berhubung pelantikannya ke pasukan 6 anggota yang ditubuhkan bagi menyiasat laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang menyimpulkan Cawangan Khas terlibat dalam kehilangan Amri dan Koh.

Isteri Amri, Norhayati Ariffin memberi amaran Mokhtar berdepan percanggahan kepentingan kerana jabatan yang pernah diketuainya terlibat secara langsung dalam siasatan ke atas kehilangan Amri, dan dia juga mewakili Bukit Aman dalam inkuiri Suhakam.

“Jelas sekali Mokhtar seorang pihak berkepentingan,” katanya.

Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 Nov 2016, manakala Koh, 64, diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng semasa memandu di Kelana Jaya Selangor pada 13 Feb 2017.

Sementara itu, Muhyiddin memaklumkan tiada perkembangan terkini dalam siasatan ke atas video seks sejenis mirip menteri selepas hampir sebulan ia tersebar.

Beliau menambah kes itu masih dalam siasatan polis.

“Belum lagi dapat apa-apa keputusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.