Selepas kritik PH, pensyarah UKM dilarang tulis isu politik

Selepas kritik PH, pensyarah UKM dilarang tulis isu politik

Abdul Muein Abadi akur dengan arahan tersebut walaupun terkilan kerana tidak lagi berpeluang menyumbang pandangan kritis kepada kerajaan PH.

Pensyarah Sains Politik UKM, Abdul Muein Abadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi yang ditegur penasihat perdana menteri, A Kadir Jasin, baru-baru ini kerana mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH), diarah tidak lagi menulis sebarang isu politik yang sensitif.

Abdul Muein berkata beliau akur dengan arahan tersebut walaupun terkilan kerana tidak lagi berpeluang menyumbang pandangan kritis kepada kerajaan PH.

“Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui betapa barisan pentadbir UKM hari ini memberi kebebasan akademik kepada kami para pensyarah.

“Sebelum adanya campur tangan seorang penasihat perdana menteri tempoh hari,” katanya menerusi kiriman Facebook.

Terdahulu, Abdul Muein melalui artikel bertajuk “Eksklusif: 400 hari PH jual lebih RM20 bilion aset negara” mengkritik tindakan kerajaan PH menjual aset negara lebih RM20 bilion.

Beliau juga mendakwa fakta dalam artikelnya itu berdasarkan laporan langsung daripada portal utama seperti The Edge Markets, Reuters, Astro Awani, Deal Street Asia, The Malaysian Reserve, dan pelbagai portal berita arus perdana dalam negara.

Kadir bagaimanapun mendakwa Abdul Muein menyebar maklumat palsu, tidak lengkap dan membuat kesimpulan songsang mengenai kerajaan PH.

Abdul Muein kemudiannya menerima ugutan daripada pihak tertentu susulan perbalahannya dengan Kadir di media sosial.

Abdul Muein yang lebih 10 tahun berkhidmat di UKM, berkata tugas pensyarah sains politik sama dengan tugas doktor kesihatan iaitu “merawat” sesuatu permasalahan yang berlaku.

“Keutamaan tugas doktor bukan untuk maklumkan mana anggota tubuh pesakit yang sihat dan normal, sebaliknya memberi amaran apakah penyakit dan masalah yang dihadapi seseorang pesakit.

“Begitulah keutamaan tugas pensyarah sains politik – untuk maklumkan apa risiko dan masalah yang bakal dihadapi oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, tugas doktor bukan memberi “gula-gula” kepada pesakit, sama halnya dengan tugas pensyarah sains politik untuk tidak mengampu kerajaan.

“Bukan salah pensyarah sains politik jika kami memberi ‘ubat’ yang ‘pahit’ kepada kerajaan.

“Segalanya saya lakukan demi melihat negara kita menjadi negara yang kuat dan bermaruah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.