Protes bantah projek tebus guna tanah Pulau Pinang di Parlimen

Peserta menaikan sepanduk dan poster membantah projek tebus guna tanah Pulau Pinang di luar Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 peserta berarak ke Parlimen hari ini bagi membantah Projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) dan pelombongan pasir di Perak.

Kumpulan itu yang terdiri daripada nelayan dan wakil beberapa persatuan di Pulau Pinang dan Perak mula berkumpul di Taman Tugu awal pagi tadi.

Mereka mula berarak pada jam 9 pagi dengan membawa sepanduk dan bendera serta melaungkan slogan seperti “Tolak Tambak” dan “Pulau Palsu Pulau Haram”.

Mereka mahu menyerahkan petisyen dan memorandum berasingan kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri dan 8 menteri lain yang menganggotai Majlis Perancang Fizikal Negara.

Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik, ahli Parlimen pasir Gudang Hassan Karim dan ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan dilihat berucap kepada himpunan tersebut berkaitan isu terbabit.

Bakhtiar berkata, mereka mendengar semua hujah yang dikemukakan oleh pertubuhan bukan kerajaan(NGO) serta nelayan terbabit berhubung bantahan mereka terhadap projek tebus guna tanah Pulau Pinang itu.

“Umumnya mereka menolak ebarang usaha yang akan merosakkan alam sekitar,” katanya. “Pendirian saya berhubung perkara ini jelas.

Kumpulan nelayan menyuarakan bantahan terhadap Projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinag.

“Tetapi pihak yang boleh memutuskannya ialah menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim.”

Dalam pada itu Nurul Izzah berkata, kumpulan itu berhak menyuarakan pandangan mereka.

“Oleh sebab itu kami (ahli Parlimen) berada di sini untuk mendengar pandangan mereka,” katanya.

“Lebih baik jika lebih ramai anggota masyarakat sivil turut hadir di sini, bukan sahaja dari Pulau Pinang, tetapi juga Perak dan Kedah, bersama-sama nelayan dan pemegang taruh yang terkesan.”

Projek tebus guna 3 pulau terbabit meliputi kawasan seluas 1,800 hektar dan merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion yang melibatkan pembinaan beberapa lebuh raya dan laluan LRT.

Ia dijangka dibiayai melalui jualan 4,500 ekar tanah 3 pulau yang bakal ditebus guna itu. Pulau pertama dijangka siap dalam 8 ke 10 tahun, sementara 2 yang lain dijangka siap dalam tempoh 20 tahun.

Pemangku presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader berkata, projek tebus guna tanah itu adalah satu inisiatif besar yang akan memberi kesan ke atas kehidupan nelayan dan biodiversiti marin di kawasan itu yang akan memusnahkan kehidupan mereka.

“Walaupun dibantah tegas oleh masyarakat sivil, nelayan dan pemegang taruh lain, penilaian kesan alam sekitar PSR diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 5 Jun lepas, kurang sebulan selepas tarikh akhir.

Sebilangan nelayan berkata, kehidupan mereka akan terjejas berikutan kegiatan pelombongan pasir dan tebus guna tanah.

“Di manakah sikap berkecualinya? Inilah sebabnya kami membuat bantahan,” katanya dengan menambah bahawa projek PSR akan mengeluarkan 3.2 juta tan karbon setiap tahun.

Khoo Salma Nasution daripada Penang Forum menggesa kerajaan supaya mengutamakan pemuliharaan alam sekitar, terutamanya bukit-bukau dan laut serta menolak projek PSR.

Katanya, satu petisyen yang disediakannya bagi membantah projek tersebut mendapat 45,000 tanda tangan setakat ini. Beliau berkata, petisyen sama dilancarkan di Perak dalam usaha menyelamatkan penyu Malaysia.

“Sebelum ini, 3 petisyen lain dilancarkan berhubung pembangunan dan pembangunan kawasan bukit yang merosakkan alam sekitar, termasuk Lebuhraya Pan Island, yang memperoleh 160,000 tanda tangan menjadikan jumlahnya 330,000 untuk 5 petisyen.

“Petisyen yang mendapat sokongan ramai ini menunjukkan wujudnya sesuatu yang sangat salah mengenai pembangunan fizikal Pulau Pinang,” katanya.

Beliau menyuarakan kebimbangan berhubung konflik kepentingan dengan berkata, kerajaan tampak mempertahankan rakan kongsi projek berkenaan, bukannya kepentingan awam.

Pengerusi Persatuan Nelayan Perak, Mansor Yusof berkata, mata pencarian lebih 9,000 nelayan akan tergugat berikutan kegiatan pelombongan pasir di negeri itu.

Beliau berkata, ia juga akan menyebabkan peningkatan harga ikan kembung kerana kegiatan pelombongan akan mengganggu habitat semula jadinya.

“Kami tidak menolak pembangunan, tetapi kami mahu kerajaan memberi perhatian kepada nasib nelayan yang kebanyakannya miskin,” katanya.

Dalam pada itu, pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad menggesa kerajaan supaya menghormati hak nelayan.

“Jika ada pihak yang merampas hutan atau sungai Orang Asli, ramai orang yang tidak suka kerana ia merupakan sumber kehidupan mereka,” katanya.

“Ia sama, laut adalah sumber kehidupan kami.”