Laporan audit: 14 bekas pegawai JKR masih dibayar gaji RM190,000

Laporan audit: 14 bekas pegawai JKR masih dibayar gaji RM190,000

Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul Majid berkata JKR turut membayar pampasan tanah bagi sebuah projek di Pahang sebanyak 2 kali.

Ketua audit negara mendapati 14 bekas pegawai JKR dibayar gaji RM193,023.57 pada 2018.
PETALING JAYA:
Ketua audit negara hari ini berkata kerajaan tahun lalu membayar gaji lebih RM190,000 kepada pegawai yang sudah meninggalkan sektor awam.

Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, jabatannya mendapati 14 bekas pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dibayar gaji RM193,023.57 pada 2018.

“Kerajaan perlu mengutip balik wang yang dibayar itu,” katanya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, JKR membayar RM93,095 sebagai pampasan tanah bagi projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur di Kuala Lipis, Pahang.

“Jumlah sebenar pampasan hanya RM46,547.50, tetapi pegawai JKR membayar jumlah itu 2 kali disebabkan kecuaian.”

Katanya, kerajaan cuba mendapatkan RM46,547.50 itu, tetapi gagal.

Nik Azman berkata, jabatannya turut mendapati 3 kes wang palsu berjumlah RM250 di Jabatan Pengangkutan Jalan tahun lalu.

Tetapi, tiada laporan polis ditemui atau laporan dibuat kepada ketua setiausaha Perbendaharaan berhubung wang palsu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.