Kumpulan anti-Lynas mahu jumpa PM berhubung operasi syarikat nadir bumi

Aktivis Tan Bun Teet (tengah) bersama pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann (kiri) dan rakan aktivis Henry KC pada sidang media anti-Lynas.

KUALA LUMPUR: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan penduduk anti-Lynas mahu berjumpa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi menyuarakan bantahan terhadap apa-apa keputusan kerajaan untuk memperbaharui lesen Lynas Corporation.

Gabungan itu, yang diketuai oleh aktivis Tan Bun Teet berkata, mereka mahu berjumpa Mahathir bagi memaklumkan pandangan kenapa mereka membantah kilang memproses nadir bumi itu meneruskan operasinya di Gebeng, Kuantan.

“Kami telah menulis surat kepada pejabat beliau pada Jun, tetapi tidak ada jawapan.

“Kami tidak menentang Lynas, tetapi kami membantah cara ia mengendalikan sisa operasinya,” katanya pada satu sidang media bersama di sini.

Beliau berkata, adalah tidak adil sekiranya Mahathir hanya mendengar pandangan Lynas bagi menentukan sama ada mahu membenarkan syarikat itu terus beroperasi di Malaysia.

Terdahulu, semasa lawatan ke Jepun, Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan akan membenarkan Lynas meneruskan operasi kilangnya di Gebeng kerana Malaysia tidak mahu kehilangan pelaburan besar itu memandangkan permintaan dunia yang tinggi terhadap nadir bumi.

Komen perdana menteri itu menghilangkan ketidaktentuan yang menyelubungi masa depan kilang berharga AS$800 juta (RM3.36 bilion) setelah pembaharuan lesennya digantung berikutan kebimbangan mengenai isu penghapusan sisa.

Lynas merupakan satu-satunya pengeluar penting nadir bumi di luar negara China. Nadir bumi adalah nama bagi sekumpulan logam yang digunakan dalam bateri, komputer, televisyen dan telefon pintar.

Ketua pegawai eksekutif Lynas Amanda Lacaze dilaporkan berkata, maklum balas daripada kerajaan berhubung rancangan untuk memindahkan pemprosesan awal galian terbabit ke luar dari Malaysia adalah memberangsangkan.

Tan berkata, mereka telah membantah operasi Lynas sejak 8 tahun lepas dan terus berusaha menyedarkan kerajaan tentang bahaya dan kesan sampingan operasi berkenaan.

“Kami percaya kebenaran tidak sampai kepada kerajaan.”

Tan berharap Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin perlu bertegas dengan pendiriannya berhubung operasi Lynas.

“Beliau pernah berkata bahawa Lynas perlu membawa keluar sisa operasinya sebagai pra-syarat pembaharuan lesen.

“Beliau dan anggota Kabinet yang lain harus menimbangkan kehidupan rakyat Malaysia akan datang sebelum membuat apa-apa keputusan berkenaan operasi Lynas,” katanya, selain menambah sekiranya kerajaan gagal berbuat demikian, maka pengundi, termasuk penduduk yang tinggal berdekatan kilang tersebut, akan menjatuhkan Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan negeri Australia Barat dilaporkan berkata, ia tidak akan membenarkan sisa radioaktif rendah dari Lynas dibawa pulang ke wilayahnya.

Menteri Perlombongan dan Petroleum negeri, Bill Johnston berkata, Yeo hanya akan membuang masa dengan melawat Perth untuk membincangkan isu itu.