Peguam negara nafi campur tangan inkues Adib

Tommy Thomas berkata, beliau tidak pernah mengarahkan bekas timbalan pendakwa raya, Hamdan Hamzah memfailkan afidavit bagi rayuan yang dikemukakan berhubung inkues Muhammad Adib Mohd Kassim.

SHAH ALAM: Peguam Negara, Tommy Thomas menafikan dakwaan keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim yang beliau mencampur tangan dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba itu.

Katanya, dakwaan itu dibuat selepas kenyataannya pada 28 Mei lalu berhubung Syazlin Mansor, peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu, bercanggah dengan kedudukan timbalan pendakwa raya dalam prosiding berkenaan.

Dalam satu afidavit yang difailkan untuk membantah penghinaan prosiding terhadapnya, Thomas berkata, beliau mengeluarkan kenyataan itu untuk menjelaskan keadaan dan kekeliruan berhubung penarikan diri Syazlin daripada prosiding inkues Adib.

Bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid mendakwa Thomas campur tangan dalam inkues ke atas kematian anaknya dan cuba menghalang Syazlin menjalankan tugasnya sebagai peguam.

Syazlin menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta keluarga Adib selepas Thomas meminta kementerian itu membatalkan pelantikannya.

Atas permintaan Kassim, Syazlin kemudiannya kembali mewakili keluarga Adib.

Dalam afidavitnya, Thomas berkata, “penarikan secara mengejut” Syazlin menimbulkan kekeliruan dan spekulasi di Mahkamah Koroner serta dalam kalangan orang ramai.

Katanya, beliau tidak pernah mengarahkan bekas timbalan pendakwa raya, Hamdan Hamzah memfailkan afidavit bagi rayuan yang dikemukakan berhubung inkues itu.

“Saya tidak pernah jumpa Hamdan dan sebarang afidavit disahkannya dalam skop kerjanya.

“Saya tidak memberi arahan untuk pemfailan atau kandungan afidavitnya.”

Dalam afidavitnya bagi rayuan dikemukakan badan bertindak Kuil Sri Maha Mariamman untuk menyertai inkues itu, Hamdan berkata, Adib tidak dipukul sesiapa pun ketika rusuhan berlaku di luar kuil itu pada 27 November 2018.

Hamdan yang menjadi peguam selepas meninggalkan sektor awam, memfailkan afidavitnya bersama Thomas.

Beliau menafikan cubaan campur tangan dalam prosiding itu ketika memfailkan afidavitnya untuk membantah rayuan badan bertindak terbabit.

Mahkamah Koroner menetapkan 9 Ogos ini untuk mendengar 2 isu berbangkit berhubung pemfailan menghina prosiding terhadap peguam negara.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla yang mewakili keluarga Adib memberitahu Koroner, Rofiah Mohamad, mereka mahu menyelesaikan 2 isu berbangkit membabitkan permohonan komital itu.

Katanya, 2 isu itu adalah sama ada peguam negara boleh memberi pandangan atau hujahan terhadap ex-parte serta setakat mana, dan sama ada mahkamah boleh melayan afidavit difailkan peguam negara dan pegawai pengendali terdahulu.

Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy yang mewakili Jabatan Peguam Negara tidak membuat bantahan untuk menyelesaikan isu berbangkit terlebih dahulu.

Rofiah kemudian meminta Haniff dan Narkunavathy memfailkan hujahan lisan mengenai 2 isu itu pada 5 Ogos ini.