PKR tolak cadangan akta lindungi lelaki, gesa senatornya tarik balik

Semalam ketika berucap di Dewan Negara, Senator PKR, Mohamad Imran Abdul Hamid berkata, golongan lelaki perlu dilindungi kerana perlakuan dan pemakaian kaum wanita boleh menggoda mereka melanggar undang-undang.

PETALING JAYA: PKR hari ini menolak cadangan Senator Mohamad Imran Abdul Hamid supaya digubal undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah rogol.

“Ingin saya jelaskan bahawa PKR menolak cadangan tersebut kerana ia dilihat tidak munasabah dan menghina golongan wanita.

“Cadangan tersebut juga memberi gambaran bahawa golongan lelaki tidak bermoral dan mudah tergoda hingga boleh terlibat dengan perbuatan keji,” kata Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, adalah lebih baik sekiranya difokuskan kepada agenda memartabatkan wanita dengan memperkasakan undang-undang bagi menolak gangguan seksual terhadap mereka.

Semalam ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah Persekutuan) 2019 di Dewan Negara, Imran berkata, golongan lelaki perlu dilindungi kerana perlakuan dan pemakaian kaum wanita boleh menggoda mereka melanggar undang-undang.

Imran seterusnya dilaporan mencadangkan suatu akta gangguan seksual ke atas kaum lelaki “akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh sebabkan kaum lelaki tergoda hingga boleh sebabkan perbuatan seperti sumbang mahram, rogol, meraba, pornografi dan sebagainya.”

Menurut laporan Malaysiakini, gesaan itu dibuat supaya golongan lelaki “selamat” dan seterusnya negara menjadi “aman”.

Anwar seterusnya meminta Imran menarik balik cadangan itu.

“Oleh yang demikian, saya meminta supaya YB Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abdul Hamid menarik balik cadangan itu.”

All Women’s Action Society (Awam) dalam reaksinya semalam berkata, dakwaan Imran bahawa lelaki boleh dipengaruhi untuk melakukan jenayah rogol, cabul dan sumbang muhrim tidak boleh diterima.

Katanya pemakaian seseorang bukanlah sebab kenapa kanak-kanak dicabul atau orang dirogol.

“Keganasan ke atas gender tidak selalunya kerana ghairah dan nafsu, tetapi kuasa dan objektifikasi.

“Ia mengenai kuasa, kawalan dan ‘saya boleh lakukan perkara ini ke atas kamu’,” katanya.