
Cadangan penyelesaian yang belum diluluskan itu tidak akan melupuskan sepenuhnya hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya ke-14 Pakatan Harapan (PH).
Tetapi penyelesaian sebahagian daripada hutang itu boleh dicapai.
Mereka yang mendapat gaji kurang RM2,000 sebulan tidak perlu membayar hutang mereka, tetapi pembayaran balik hutang berkenaan boleh dikutip daripada peminjam lain melalui potongan daripada 2 caruman bulanan majikan dan pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Dari sudut kewangan, tidak mungkin kita boleh melupuskan semua hutang tersebut. Kerajaan akan terpaksa menanggung puluhan bilion kos dalam tempoh 5 tahun akan datang,” kata seorang pegawai yang maklum tentang cadangan penyelesaian itu.
Pegawai berkenaan, yang enggan dikenali memberitahu FMT bahawa kaedah penyelesaian itu melibatkan potongan ke atas caruman peminjam kepada KWSP, berdasarkan satu sistem pembayaran balik hutang 2 peringkat bagi mereka yang berpendapatan lebih RM2,000 sebulan.
*Bagi peminjam berpendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000, potongan dari 2% hingga 4% akan dibuat ke atas caruman bulanan KWSP terkumpul mereka yang berjumlah sebanyak 23% daripada gaji.
*Potongan lebih besar akan dibuat ke atas peminjam yang berpendapatan lebih RM4,000 sebulan. Sumber FMT memberitahu bahawa PTPTN mencadangkan ditetapkan potongan maksimum sebanyak 8%, bukannya 15% seperti diluluskan oleh Kabinet pada Disember.
Peminjam juga boleh memilih untuk membayar balik hutang mereka melalui gabungan potongan KWSP dan wang tunai.
“Kami fikir penyelesaian ini jalan terbaik kerana ia tidak memberi kesan ke atas aliran tunai peminjam dan PTPTN juga dapat mengutip hutang daripada mereka.”
Sebelum ini turut dicadangkan potongan wajib ke atas gaji pelajar yang berhutang.
Bagi mereka yang berpendapatan lebih RM2,000 sebulan, potongan antara 2% hingga 15% akan dibuat daripada gaji untuk membayar balik pinjaman masing-masing.
Potongan sehingga 15% akan dibuat ke atas peminjam yang mendapat gaji RM8,000 sebulan.
Sumber FMT berkata, peminjam ingkar tidak perlu bimbang bahawa mereka akan dimasukkan ke dalam senarai hitam untuk keluar negara.
Bagaimanapun katanya, penguatkuasaan pembayaran balik hutang lebih ketat akan dilaksanakan, termasuk kemungkinan tindakan undang-undang.