Kumpul tanda tangan pemimpin parti sokong Anwar buang masa, kata ketua Wanita PKR

Kumpul tanda tangan pemimpin parti sokong Anwar buang masa, kata ketua Wanita PKR

Semalam ketua PKR Kangar, Noor Amin Ahmad mendakwa lebih 90% atau 197 daripada 219 ketua bahagian parti itu di seluruh negara menyokong kepimpinan Anwar.

Ketua Wanita PKR, Haniza Talha berkata, Anwar telah memenangi jawatan presiden parti itu tanpa bertanding dalam pemilihan lepas.
PETALING JAYA:
Langkah mengumpul tanda tangan ketua bahagian PKR di seluruh negara bagi menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar Ibrahim disifatkan membuang masa.

Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha berkata, ini kerana Anwar menang jawatan presiden parti itu tanpa bertanding dalam pemilihan lepas.

“Perbuatan mengambil tanda tangan tidak menyatukan, malah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi,” katanya kepada FMT.

Semalam ketua PKR Kangar, Noor Amin Ahmad mendakwa lebih 90% atau 197 daripada 219 ketua bahagian PKR di seluruh negara menyokong kepimpinan Anwar dan menafikan berlaku perpecahan dalam parti itu.

Amin mendakwa semua ketua bahagian itu sudah dihubungi dan tanda tangan serta pengesahan mereka diperolehi berdasarkan perakuan mereka yang menandatangani resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan PKR di Port Dickson pada 21 Julai lalu.

Katanya, beliau turut mendapat persetujuan ketua bahagian yang menghadiri mesyuarat majlis pimpinan pusat pada 28 Julai lalu yang memperakui resolusi di Port Dickson.

Dalam pada itu, Haniza berkata, dakwaan mendapat tanda tangan 197 ketua cabang PKR tidak tepat kerana ada daripada mereka tidak dihubungi.

“Lebih baik tumpukan perhatian dan usaha kepada pembangunan negara serta menyatukan ahli parti,” katanya.

Beberapa ketua negeri dan bahagian PKR mula menyuarakan sokongan mereka lebih seminggu lalu, selepas Anwar dilaporkan menggesa timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali supaya melepaskan jawatan sebagai menteri hal ehwal ekonomi, jika terbukti beliau terbabit dalam klip video seks sejenis yang tersebar sejak awal bulan lalu.

Pada 12 Jun, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengaku terbabit dalam video seks sejenis itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi dakwaan itu dinafikan Azmin yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Pada 18 Julai, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.