
Sumber dari PH Selangor berkata pimpinan meminta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memanggil satu mesyuarat tergempar.
“Kenapa timbulkan isu penukaran agama sebelah pihak yang sudah diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan?
“Tak cukup lagi masalah sekarang? Kita bersusah payah mahu menunaikan janji-janji dalam manifesto tetapi sekarang perlu berdepan orang yang mahu berpatah balik dalam hal undang-undang persekutuan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata sekarang bukan masanya untuk menyentuh isu agama kerana orang ramai mahu PH menambah baik ekonomi.
Beliau berkata mesyuarat itu dijangka berlangsung esok dan “kami semua mahu menyoal Amirudin” mengenai cadangan pindaan itu.
“Kekecewaan semakin bertambah.”
Beliau berkata spekulasi mengatakan cadangan pindaan mengenai penukaran agama sebelah pihak itu bertujuan mengukuhkan kedudukan politik pemimpin tertentu dalam kalangan pengundi Melayu, susulan pergeseran antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali selepas kemunculan video seks sejenis pada Jun.
“Tetapi pengukuhan kuasa itu boleh menyebabkan DAP menjadi lemah. Ia boleh menyebabkan ramai orang bukan Melayu tidak gembira,” katanya.
Seorang lagi pemimpin PKR berkata, pimpinan Selangor parti itu dijangka akan bertemu Amirudin secara peribadi mengenai isu tersebut.
“Ramai tidak mahu kerajaan Selangor berpatah balik dalam isu agama ini.
“Ramai mengharapkan seorang menteri besar baru jika dia meneruskan pindaan itu kerana ia mungkin menyebabkan kaum-kaum lagi tersisih,” katanya.
Seorang pemimpin PKR yang menyokong Anwar berkata, ia tidak sepatutnya dibuat untuk memperoleh kuasa.
Mereka mengulas laporan Malaysiakini bahawa menteri besar cuba membawa satu pindaan bagi menukar perkataan dalam enakmen berkenaan penukaran agama anak.
Mahkamah Persekutuan tahun lepas memutuskan penukaran agama anak perlu disetujui oleh ibu dan bapa.
Pindaan di Selangor itu mahu menukarnya kepada “ibu atau bapa”.
Sumber lain berkata, Amirudin mungkin dipanggil ke lembaga disiplin PKR tidak lama lagi berhubung kenyataannya berkaitan video seks sejenis.
“Kalau dia digantung, kami mahu Idris ambil alih,” katanya, merujuk kepada Adun Ijok, Idris Ahmad menggantikan Amirudin.
Sumber berkata usaha menjadikan Idris menteri besar seterusnya mungkin antara sebab kenapa Amirudin mahu menguatkan kuasanya di Selangor dengan meraih lebih banyak sokongan orang Melayu.
Idris, yang dilihat menyokong Anwar, disebut sebagai menteri besar Selangor selepas Azmin dilantik menjadi menteri persekutuan, tetapi jawatan itu diberi kepada Amirudin.
Amirudin ketika dihubungi mengesahkan mesyuarat bersama pimpinan PH di kediamannya esok.
“Ia mesyuarat peribadi dan bukan mengenai cadangan-cadangan pindaan itu.
“Itu isu negeri dan perkara seperti itu tidak dibincangkan di kediaman peribadi,” katanya.