Polis rakam keterangan 20 saksi dalam kes kehilangan Nora Anne

Nora Anne Quoirin. (Gambar Facebook)

NILAI: Polis merakam sebanyak 20 keterangan saksi termasuk ahli keluarga bagi membantu siasatan kes kehilangan Nora Anne Quoirin, 15, kata Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Che Zakaria Othman.

Beliau berkata walaupun siasatan kes remaja Ireland yang dilaporkan hilang Ahad lepas menjurus kepada orang hilang, namun polis tidak menolak sebarang kemungkinan lain dan siasatan yang dijalankan secara menyeluruh.

”Pasukan forensik juga sudah mengambil beberapa kesan cap jari di bahagian tingkap ruang tamu termasuk di seluruh bangunan (chalet) berkenaan dan telah dihantar ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

“Sehingga kini, tiada petujuk baharu diperolehi dari pasukan mencari dan menyelamat,” katanya.

Beliau berkata skala operasi yang digerakkan adalah besar dan diperluaskan dengan penambahan 2 lagi zon pencarian menjadikan kesemuanya enam zon.

“Kekuatan anggota dalam operasi SAR juga ditingkatkan kepada 214 anggota hari ini berbanding 159 anggota semalam,” katanya.

Mengenai keluarga mangsa yang masih mempercayai mangsa diculik, beliau berkata respon sebegitu mungkin disebabkan emosi kehilangan anak perempuan berusia 15 tahun apatah lagi remaja berkenaan merupakan anak istimewa.

Dalam pada itu, seorang anggota SAR berkongsi pengalamannya dan memberitahu kawasan hutan yang bercuram dan gelap merupakan antara cabaran yang perlu ditempuh anggota penyelamat.

Kawasan pencarian juga mempunyai banyak kawasan berbatu besar yang tajam dan licin yang memerlukan setiap anggota lebih berwaspada.

“Operasi hari ke-4 hari ini mulai ‘muram’ dengan cuaca mendung sejak pagi tadi dengan hujan rintik berbanding sebelum ini cuaca yang amat baik,” katanya.

Katanya, kawasan pencarian yang berbukit bukau dan bercuram itu yang dipenuhi pokok-pokok besar setinggi bangunan 3 tingkat bukanlah satu kawasan yang mudah untuk operasi berkenaan walaupun kebanyakan daripada mereka memiliki pengalaman yang luas dan terlatih.

Sementara itu, tinjauan mendapati lokasi resort yang terletak berdekatan Gunung Berembun dan di kelilingi dusun buah-buahan serta hutan menjadikan kawasan itu sebagai antara kawasan tarikan pelancong asing.

Berada di bukit dengan jarak perjalanan kira-kira 4 kilometer daripada Pekan Pantai, resort itu dilihat agak terpencil dan sunyi menjelang petang malah amat gelap pada waktu malam memandangkan tiada lampu jalan di sekitarnya selain perlu melalui jalan berliku yang sempit untuk ke resort berkenaan.

Tinjauan juga mendapati anggota keselamatan masih mengawal laluan menghala ke resort yang menjadi tumpuan media sejak 4 hari lepas.