
DAP Selangor tidak akan menyokong sebarang rang undang-undang di Dewan Negeri Selangor yang membenarkan penukaran agama anak secara sebelah pihak oleh ibu atau bapa, kata Pengerusi Gobind Singh Deo.
Beliau menegaskan sebarang cubaan memperkenalkan undang-undang sebegitu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, mengingatkan Mahkamah Persekutuan dalam kes M Indira Gandhi menjelaskan “ibu bapa” dalam Perlembagaan Persekutuan bermaksud kedua-dua ibu bapa.
“Oleh itu, hak individu kedua-dua ibu bapa untuk menentukan agama anak bawah umur dijamin Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.
“Seperti yang kita sedia maklum, Perlembagaan Persekutuan adalah yang tertinggi dan mengatasi sebarang peruntukan undang-undang lain yang tidak konsisten dengannya.”
Sementara itu, DAP Selangor menyokong keputusan Speaker Ng Suee Lim menangguhkan sidang dewan undangan negeri pada 31 Julai lalu, iaitu hanya 2 hari selepas ia bersidang.
Gobind berkata Ng tidak menyalahi sebarang peruntukan bawah peraturan-peraturan berkaitan dengan kelakuan seorang speaker dalam menjalankan mesyuarat.
“Beliau sudah menjelaskan mesyuarat ditangguhkan mengikut peraturan mesyuarat dan semua agenda telah selesai,” katanya.