Dong Zong, Jiao Zong kata ‘tidak’ pada khat di sekolah rendah

Dong Zong, Jiao Zong kata ‘tidak’ pada khat di sekolah rendah

Dong Zong dan Jiao Zong berkata kebimbangan masyarakat Cina dan India masih belum selesai.

PETALING JAYA:
Kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong menegaskan ia membantah keputusan kerajaan memperkenalkan khat dalam mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah-sekolah mulai tahun depan.

Mereka, bersama 10 kumpulan kepentingan masyarakat India dan Cina lain, sebelum ini menandatangani kenyataan menyeru keputusan kerajaan itu ditangguhkan.

Selepas satu pertemuan dengan Kementerian Pendidikan pada Selasa, Timbalan Menteri Teo Nie Ching berkata mereka bersetuju khat diperkenalkan di sekolah aliran tetapi tidak bersetuju jika murid diwajibkan belajar Jawi dan tidak akan diuji dalam peperiksaan.

Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) dalam kenyataan hari ini berkata keputusan kerajaan mengenai khat tidak menyelesaikan kebimbangan masyarakat Cina dan India kerana ada unsur keagamaan.

“Oleh itu, Dong Jiao Zong berpendirian tegas pelaksanaan ini perlu dibatalkan di peringkat sekolah rendah jenis kebangsaan,” katanya.

Mereka juga bersetuju dengan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) bahawa memperkenalkan khat mungkin melanggar Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.

Dong Jiao Zong mendakwa kajian dan kenyataan sesetengah ahli akademik mengatakan khat diguna pakai untuk tujuan dakwah Islam, dan oleh itu tidak sesuai sekiranya murid-murid bukan Islam mempelajarinya.

“Pelaksanaan sebarang bahan berunsur agama di SJK bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dong Jiao Zong juga ingin mengingatkan sebarang dasar yang dicadangkan perlu bersesuaian dengan kepelbagaian kaum dan agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.