Kerajaan rancang ‘saluran khas’ di bawah MOF permudah pelaburan dari China, kata Guan Eng

Kerajaan rancang ‘saluran khas’ di bawah MOF permudah pelaburan dari China, kata Guan Eng

Malaysia dapat menawarkan campuran yang lebih sesuai dalam pembuatan dan kepakaran kepada pelabur China.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
KUALA LUMPUR:
Malaysia merancang untuk mewujudkan “saluran khas” yang diterajui oleh Kementerian Kewangan untuk memudahkan lebih banyak pelaburan dari China, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, “saluran khas” itu akan dapat menggandakan pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan dalam sektor pembuatan dari China kepada RM8.8 bilion daripada RM4.4 bilion dicatatkan pada suku pertama tahun ini.

“Kita akan dapat menggunakan institusi sedia ada (untuk mewujudkan saluran itu).

“Saya fikir apabila saya pergi ke China untuk misi pelaburan (pada bulan ini), kami akan memberikan butirannya kepada pelabur China,” katanya sambil mengesahkan lawatan beliau ke Shenzhen bulan ini, hari ini.

Lim berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Kerjasama Ekonomi Jalur dan Laluan Malaysia-China 2019 di sini.

Mengenai misi pelaburan Shenzhen, beliau yakin Malaysia dapat menawarkan untuk menjadi lokasi selamat kepada syarikat China, terutamanya dengan perang perdagangan yang meningkat antara AS dan China.

“Apabila kita bercakap mengenai perang perdagangan, itu pada dasarnya antara AS dan Shenzhen, pasaran pembuatan dan eksport di China.

“Memandangkan pelabur pembuatan dari China mencari lokasi selamat, saya fikir kita dapat menawarkannya kepada mereka,” katanya.

Lim turut yakin Malaysia akan dapat menawarkan campuran yang lebih sesuai dalam pembuatan dan kepakaran kepada pelabur China.

“Mereka tidak begitu mengetahui dengan apa yang ditawarkan oleh Malaysia, malah apa yang kita boleh tawarkan ialah campuran yang sesuai.

“Oleh itu, kita mahu mempromosikan Malaysia dan membolehkan pelabur China mengetahui bahawa kita lebih baik, bukan sahaja dari segi campuran pembuatan, tetapi juga kos, berbanding negara lain,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terkini berhubung terbitan bon Panda, Lim berkata pada masa ini, harga masih tidak menarik bagi Malaysia untuk meraih wang daripada bon, tetapi perbincangan mengenai perkara itu masih diteruskan.

“Jika ada sebarang pengumuman lanjut, kami akan mengumumkannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.