
M Sivaranjani dari Persatuan Pekerja Kontrak Kerajaan berkata, pekerja terbabit adalah mereka yang terkesan oleh langkah penjimatan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan, termasuk mengurangkan peruntukan untuk kerja pembersihan di sekolah kerajaan.
“Mereka ditamatkan kerja tanpa notis dan pampasan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial(Socso).
Beliau berkata, permohonan EIS sebilangan bekas pekerja yang masih tidak mempunyai pekerjaan itu ditolak kerana gagal menyediakan dokumen seperti slip gaji 6 bulan, notis penamatan pekerjaan dan bukti pekerjaan.
Katanya, Socso juga tidak mahu melayan pekerja yang tidak membuat permohonan EIS secara atas talian.
“Hampir 99% pekerja ini tidak mempunyai pendidikan yang baik dan tidak tahu menggunakan komputer,” katanya.
“Selain itu, Socso berkata, mereka menunggu penyelesaian pertikaian antara pekerja dengan majikan di JPP,” katanya merujuk kepada Jabatan Perhubungan Industri.
Sivaranjani bagaimanapun berkata, EIS tidak ada hubungan dengan JPP.
“Apakah tujuan EIS jika tidak mampu membantu mereka yang kehilangan pekerjaan?”
Beliau berkata, adalah tidak adil sekiranya pekerja berpendapatan rendah dinafikan pampasan di bawah EIS.
“Mereka ada keluarga. Apa lagi yang mereka ada jika tidak boleh memohon EIS?”
Dalam pada itu, Ketua Pejabat EIS Mohd Sahar Darusman berkata, wujud kekeliruan berhubung kontrak dengan Kementerian Pendidikan itu.
Beliau berkata, setakat ini EIS menerima lebih seratus permohonan, selain menggesa mereka yang tidak biasa dengan kaedah permohonan secara atas talian mendapatkan bantuan daripada pegawai.
“Saya berharap kita dapat menyelesaikan masalah ini.”