Kerajaan dulu benar GLC beli saham DreamEDGE, kata menteri

Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri Darell Leiking.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Indusri berkata hari ini bahawa kerajaan lepas memberi kelulusan kepada syarikat berkaitan kerajaan membeli saham dalam DreamEDGE, iaitu firma yang akan mengeluarkan kereta ke-3 negara.

Menterinya Darell Leiking berkata, VentureTECH Sdn Bhd dimiliki oleh Kumpulan Industri Kerajaan untuk Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), iaitu sebuah agensi kerajaan.

VentureTECH, yang sebelum ini dikenali sebagai A-Bio Sdn Bhd dikatakan membeli pegangan kira-kira 10% dalam DreamEGDE pada 2017.

“Pada masa itu Pakatan Harapan (PH) belum menjadi kerajaan. Tetapi perdana menteri tertentu, yang mungkin juga menteri kewangan, memberi kebenaran kepada MIGHT dan anak syarikatnya masuk ke dalam DreamEDGE,” kata Leiking kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Aeroangkasa Malaysia di sini.

Beliau diminta memberi komen mengenai kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad 2 hari lepas bahawa beliau tidak memberi kelulusan kepada MIGHT untuk membeli saham DreamEDGE.

Mahathir membalas kenyataan Presiden MCA Wee Ka Siong yang mendakwa Leiking dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berbohong berkenaan pembiayaan projek kereta nasional ke-3 yang menurut mereka akan dibiayai oleh pihak swasta.

Ini berikutan pengesahan oleh DreamEDGE bahawa kerajaan melabur dalam syarikat itu.

Leiking hari ini berkata, individu yang membuat dakwaan tersebut “tidak tahu cerita sebenar”.

“Kasihan,” katanya, selain menambah, “Sedih, tapi dia kini belajar menjadi pembangkang yang baik.”

Beliau berkata, DreamEDGE memberi jaminan bahawa ia tidak akan meminta dana daripada kerajaan, dan kerajaan juga tidak akan menyelamatkan projek itu sekiranya ia gagal.

Berhubung dakwaan ketua Pemuda Umno Sabah Aziz Julkarnain bahawa Ketua Menteri Shafie Apdal dan kerajaan negeri pimpinan Warisan merosakkan ekonomi Sabah, Leiking berkata, penurunan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri itu sebanyak 6.7% dalam masa kurang setahun adalah warisan daripada kerajaan sebelum ini.

“Mereka (pentadbiran lepas) menyalahgunakan kuasa mereka. Inilah akibatnya,” kata beliau.

Leiking, yang merupakan timbalan presiden warisan berkata, setiap kali kementeriannya mengumumkan berita positif, sesetengah pihak mendakwa ia adalah hasil kerja kerajaan lepas.

“Jadi dalam kes ini, jika dia menuduh kerajaan Warisan sebagai punca kemerosotan KDNK negeri Sabah, maka mudah bagi saya untuk berkata bahawa ia juga berpunca daripada pentadbiran sebelum ini,” kata beliau.

Leiking mempertahankan Shafie dengan berkata, ketua menteri itu telah membawa masuk beberapa bakal pelabur dan mencapai kemajuan dengan perkhidmatan awam.

“Beliau berbuat sebaik mungkin walaupun berdepan banyak cabaran.”