OKU disyaki jadikan rumah ‘port’ edar dadah

OKU disyaki jadikan rumah ‘port’ edar dadah

Polis menahan seorang lelaki lumpuh sebelah badan yang disyaki menjadikan rumahnya tempat membungkus dan mengedar dadah sejak 2 bulan lepas.

ALOR SETAR:
Polis menahan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) disyaki menjadikan rumahnya di Kampung Bukit Choras, Pendang sebagai tempat membungkus dan mengedar dadah sejak 2 bulan lepas.

Ketua Polis Pendang, Arriz Sham Hamezah berkata, lelaki lumpuh sebelah badan berumur 36 tahun itu yang masih bujang, ditahan kira-kira 1.30 petang berdasarkan maklumat dan risikan pihaknya sebelum ini.

“Ketika serbuan, suspek duduk di atas katil sebuah bilik dan pemeriksaan menemui beg kain warna hitam dan di dalamnya terdapat dua paket plastik besar lutsinar dan 18 keratan straw berisi heroin seberat 22.1 gram bernilai RM670, 3 paket dan 1 keratan straw berisi syabu seberat 1.7 gram bernilai RM225, dan keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM895.

“Turut ditemui ialah alat penimbang, sebilah gunting, pemetik api, 5 keping plastik lutsinar kosong dipercayai untuk digunakan membungkus dadah, sekeping kad OKU dan kad pengenalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, suspek lumpuh sebelah kanan badan selepas dipercayai terbabit kemalangan jalan raya pada 2007 lepas, dan hanya duduk di rumah sambil menunggu penagih datang mendapatkan bekalan.

“Suspek juga didapati positif morfin selepas ujian air kencing dijalankan dan dia ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama,” katanya dan semakan rekod lampau mendapati lelaki itu turut memiliki 2 rekod lampau berkaitan dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.