
Menterinya, Loke Siew Fook berkata pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Shaharuddin Khalid akan diadakan minggu ini untuk melihat sama ada arahan itu wajar diteruskan atau tidak.
“Ini cadangan JPJ, bukan arahan menteri pengangkutan. Saya difahamkan JPJ bertindak demikian untuk mengurangkan ketirisan pendapatan kerajaan kerana ada kenderaan berdaftar di Semenanjung memperbaharui cukai jalan di Sabah dan Sarawak,” katanya selepas merasmikan Ibu Pejabat DAP Miri hari ini.
Loke berkata, JPJ mendapati ada pemilik kenderaan 2,000cc ke atas dari Semenanjung yang mengambil kesempatan memperbaharui cukai jalan di pejabat pos Sarawak dan Sabah kerana kadar cukai jalan lebih murah di 2 negeri itu.
Beliau berkata, kepentingan masyarakat di Sarawak dan Sabah perlu diambil kira dalam isu ini kerana sesetengah kawasan tidak mempunyai pejabat JPJ dan menyukarkan proses pembaharuan cukai jalan bagi penduduk yang tinggal jauh dari pejabat JPJ negeri atau cawangan.
Pengumuman Pos Malaysia mengenai arahan pemberhentian pembaharuan cukai jalan itu tersebar di media sosial minggu lalu.
Ia mendapat reaksi negatif netizen, terutamanya yang tinggal di pedalaman Sarawak kerana mendakwa ia membebankan dari segi kewangan, masa serta menambah kesesakan di pejabat JPJ dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).
Mengenai cadangan pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) melibatkan sempadan Malaysia dan Brunei, Loke berkata, setakat ini ia masih di peringkat kajian.
Pada 25 April lalu, JPJ mengumumkan cadangan melaksanakan VEP ke atas semua kenderaan asing di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sempadan Malaysia dan Brunei untuk memudahkan pemantauan kenderaan berdaftar dari negara luar, khasnya membabitkan isu saman trafik dengan kertas cadangan akan diserahkan kepada menteri pengangkutan tahun ini.