Boikot tak OK, tapi golongan miskin Bumiputera perlu dibantu, kata bos Mydin

Bos Mydin, Ameer Ali Mydin. berkata, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu membantu mereka yang berada di tangga ekonomi lebih rendah. (Gambar Bernama)

SUBANG JAYA: Bos syarikat runcit gergasi Ameer Ali Mydin menolak kempen “boikot” produk keluaran bukan Islam, tetapi pada masa sama menggesa rakyat Malaysia supaya membeli produk syarikat Bumiputera miskin bagi membantu mereka memanjat tangga ekonomi.

Ameer, pemilik rangkaian pasar raya runcit Mydin berkata, kempen tersebut “naif dan tidak sensitif”, selain wujudnya kemungkinan ia didorong oleh politik.

“Pada prinsipnya, Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan agama, justeru kempen sedemikian tidak seharusnya diadakan,” katanya pada satu acara di sini, hari ini.

Bagaimanapun kata beliau, syarikat Bumiputera yang miskin perlu dibantu bagi membolehkan mereka mendapat keuntungan.

Katanya, apabila mereka berjaya berbuat demikian, maka ia akan membantu seluruh negara dari segi rantaian perbekalan dan pembuatan.

Ameer berkata, jika rakyat mempunyai pilihan antara membeli produk tempatan dengan keluaran syarikat antarabangsa, maka mereka perlu menyokong produk keluaran Malaysia.

Jika ia merupakan pilihan antara membeli produk Malaysia yang dikeluarkan syarikat milik orang Cina yang kaya dengan syarikat Bumiputera yang miskin, maka katanya, “kita perlu sokong produk Bumi.”

“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu membantu mereka yang berada di tangga ekonomi lebih rendah,” katanya.

“Ia bukanlah isu Bumi bantu Bumi. Ia adalah usaha membantu mereka menapak naik ke kedudukan lebih baik.”

Kempen itu yang bermula di media sosial, menggesa masyarakat Bumiputera tidak membeli produk keluaran bukan-Bumiputera, sebaliknya mengutamakan produk keluaran syarikat Bumiputera.

Kerajaan sebelum ini menolak kempen itu dengan berkata, usaha menolak produk keluaran bukan Islam sebagai tidak wajar dan tidak munasabah.

Bagaimanapun PAS dan mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin mempertahankan kempen menyokong produk keluaran orang Islam itu dengan berkata, ia harus dilihat secara positif.

Mereka berkata, kempen berkenaan bertujuan memperkuat kuasa ekonomi orang Islam dengan memberikan mereka kelebihan kompetitif.